Berita

Calon bebas, parti tempatan akan hilang deposit dalam pertembungan banyak penjuru

TAWAU, 2 OKT: Lebih 44% calon parlimen dan 60% calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hilang deposit dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu akibat pertembungan beberapa penjuru bagi satu-satu kawasan.

Menurut Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin, kebanyakan calon yang hilang deposit merupakan calon bebas dan parti tempatan.

Berdasarkan statistik yang diberikan, Daripada 25 kerusi Parlimen, 24 kerusi direbut seramai 93 calon dan hanya satu kerusi menyaksikan satu lawan satu.

“Daripada 93 calon, sebanyak 41 calon atau 44% hilang deposit,” katanya dalam kenyataan.

Berikut adalah jadual yang menunjukkan bilangan pertembungan penjuru bagi kawasan Parlimen di Sabah. Hanya satu kerusi sahaja menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

Bilangan kerusi Parlimen Bilangan calon bagi setiap kerusi
1 7
2 5
13 4
8 3
JUMLAH 24 93

Bagi kerusi DUN pula, Adun Sri Tanjung itu berkata terdapat 263 calon diletakkan bagi merebut 59 daripada 60 kerusi DUN dan sebanyak 160 calon atau 60% hilang deposit manakala hanya satu kerusi DUN menyaksikan pertandingan satu lawan satu.

Bilangan kerusi DUN Bilangan calon bagi setiap kerusi
1 7
6 6
19 5
24 4
9 3
JUMLAH 59 93

Katanya, PRU14 hadapan merupakan peluang keemasan yang tidak boleh disia-siakan untuk membuat perubahan di Sabah dan peringkat persekutuan.

Terdahulu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyeru supaya parti-parti pembangkang khususnya di Sabah bekerjasama untuk menukar pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya hadapan.

“Jika peluang untuk mengecapi perubahan politik tidak berjaya di Sabah khususnya dalam PRU14, ruang untuk perubahan seterusnya akan mengambil masa yang panjang.

“Perlu kita sedari bahawa Sabah hanya boleh diselamatkan jika Malaysia diselamatkan; begitu juga, tiada cara lain Malaysia diselamatkan, selain dengan menyelamatkan Sabah,” kata Kit Siang. – Roketkini.com