Berita

Parti tempatan, kebangsaan di Sabah perlu sepakat jatuhkan BN dalam PRU14

TAWAU, 2 OKT: Meski bercanggah pendapat, ia bukan bermakna parti-parti pembangkang di Sabah tidak boleh sepakat untuk menukar pentadbiran UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perpaduan di kalangan  parti tempatan dengan parti nasional amat penting demi menebus kembali maruah wilayah Sabah yang jauh terpinggir menikmati arus pembangunan yang adil sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam ucapannya di Tawau malam tadi, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru seluruh parti-parti pembangkang di Sabah supaya bersatu di bawah satu matlamat – menumpaskan BN dalam PRU14.

“Saya ingin mencadangkan ini bukan mewakili Pakatan Harapan atau mewakili DAP, tetapi sebagai ahli politik Malaysia yang telah mendedikasikan hidup saya selama 52 tahun untuk Malaysia yang lebih baik kepada rakyat Malaysia,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Sejak 54 tahun lalu, Sabah memiliki 13 Ketua Menteri bertukar ganti tetapi rakyat Sabah tidak menikmati pembangunan sewajarnya sepertimana yang dijanjikan sewaktu membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Menurut beliau, gejala rasuah dan ketirisan melampau di Sabah, Sarawak dan Malaysia secara umumnya menjadi salah satu punca kepada pembangunan yang tidak seimbang antara Semenanjung dan wilayah itu.

Fakta ini katanya dapat dilihat dengan angka-angka yang dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendedahkan antara sejumlah RM334.53 juta aset telah disita sepanjang Ogos 2016 hingga Ogos 2017.

Apa yang menyedihkan, kerajaan BN ketika ini dilihat galak cuba meraih undi dan simpati rakyat Sabah dan Sarawak menggunakan ‘modal’ Lebuhraya Pan-Borneo.

“Tetapi, jika wujud urustadbir yang baik di Sabah dan Sarawak tanpa gejala rasuah dan salah guna kuasa, Sabah dan Sarawak sendiri akan memiliki cukup sumber dan mampu membina sendiri Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Kata Kit Siang, wujud tanda-tanda rakyat Malaysia umumnya mahukan perubahan dalam PRU14.

Namun, apa yang benar-benar diperlukan bukan semata-mana tsunami politik di kawasan bandar tetapi tsunami politik Malaysia secara keseluruhannya sama ada di kota mahupun di luar bandar termasuk tsunami segala suku kaum di Sabah dan Sarawak.

“Jika peluang untuk mengecapi perubahan politik tidak berjaya di Sabah khususnya dalam PRU14, ruang untuk perubahan seterusnya akan mengambil masa yang panjang.

“Perlu kita sedari bahawa Sabah hanya boleh diselamatkan jika Malaysia diselamatkan; begitu juga, tiada cara lain Malaysia diselamatkan –selain dengan menyelamatkan Sabah,” katanya lagi. –Roketkini.com