Berita

Jalan sudah ada sejak zaman British tapi masih belum berturap – YB buat apa?

KENINGAU, 3 OKT: Meski terletak hanya 18 minit dari pusat Bandar Keningau, Kg Sigapon yang berada di antara laluan utama Jalan Tenom – Keningau seolah-olah diketepikan dari menikmati kemudahan infrastruktur asas jalan raya yang sempurna.

Hanya sebahagian sahaja jalan di kampung di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan itu telah berturap manakala sebahagian yang lain masih kekal sebagai laluan tanah merah.

Menurut aduan penduduk dalam lawatan DAP Keningau baru-baru ini, laluan tersebut sudah wujud sekitar tahun 1950 sewaktu zaman pentadbiran British di Borneo Utara menghubungkan daerah Tenom dan Keningau sebelum jalanraya utama yang digunakan sekarang dibina pada tahun 1975.

Peter Saili, Penyelaras DAP Keningau

Menurut Pengerusi DAP Keningau, Peter Saili, meskipun Jalan Kg Sigapon berada di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), aduan yang dikemukakan penduduk sebelum ini tidak mendapat perhatian wajar.

Akibatnya, laluan utama yang menjadi penghubung penduduk memasarkan hasil tani ke bandar selain menjadi laluan menghantar anak-anak ke sekolah sering dinaiki semak samun dan berdebu.

“Penduduk mengadu kerja-kerja pembersihan semak-samun di tebing kiri dan kanan jalan kampung ini  kali terakhir dibuat pada tahun 2013 yang lalu.

“Pembersihan rumput dibuat dibahagian jalan berturap sahaja (bahagian hujung jalan). Sementara bahagian jalan yang tidak berturap yang lebih panjang sekitar lapan kilometer dibiarkan begitu sahaja tanpa penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan media.

Semak-samun yang tidak diselenggara itu kata Peter menyebabkan laluan tersebut semakin sempit dan mengundang risiko kemalangan bagi kenderaan dari arah bertentangan.

Jalan tanah merah yang wujud sejak zaman kolonial British di Sabah di Kg Sigapon.

Justeru, beliau menyeru agar pihak berkuasa khususnya JKR menjalankan tanggungjawab mereka demi kepentingan masyarakat Kg Sigapon.

Kg Sigapon bukanlah satu-satunya kampung di DUN Liawan, kawasan Parlimen Keningau yang masih terpinggir dari pembangunan infrastruktur asas jalan.

Kata Peter, masih banyak kampung di kawasan ini yang menerima nasib yang serupa.

“Adalah diharapkan agar pihak yang bertanggung-jawab seperti JKR agar melaksanakan tugas dengan lebih bertanggung-jawab.

“Begitu juga dengan Wakil Rakyat yang sudah diberi mandat sejak beberapa penggal yang lepas. Ada banyak jalan kampung di DUN Liawan yang tidak berturap, malah jadual selenggaran jalan tidak dipatuhi.

“Apalah ertinya slogan ‘Rakyat DiDahulukan, Pencapaian DiUtamakan’ sekiranya keadaan infrastruktur di DUN Liawan kekal mundur!,” katanya lagi.

DUN Liawan diwakili oleh wakil rakyat UMNO, Datuk Sairin bin Karno sejak tiga penggal lalu dan kini beliau turut menyandang jawatan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sabah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), DUN tersebut menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan UMNO, Bebas, PKR, STAR dan SAPP dan menyaksikan kemenangan Sairin sebanyak 1,752 undi berbanding PRU12 dengan majoriti 2,044 undi. – Roketkini.com