Berita

Krisis tenaga buruh, tanah, alam sekitar di Cameron Highlands perlu penyelesaian menyeluruh

CAMERON HIGHLANDS, 2 OKT: Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata masalah pengurusan tanah, kekurangan tenaga buruh asing dan alam sekitar yang dihadapi di sini perlu diselesaikan secara menyeluruh dan bukan sekadar bersifat sementara.

Beliau berkata demikian mengulas kesan dan isu yang timbul daripada Ops Gading 2 yang bertujuan membendung aktiviti penerokaan tanah secara haram dan mengawal kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di tanah tinggi berkenaan.

Melalui aduan yang diterima, pengusaha dan petani kecil di situ mengeluh dan menzahirkan rasa hairan dengan tindakan tersebut yang secara langsung telah menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

“Saya menerima aduan dari petani-petani bahawa mereka dibuli supaya membayar sejumlah wang bagi mengusahakan tanah tetapi kebun-kebun mereka itu kemudiannya dimusnahkan semasa Ops Gading,” katanya.

Persoalannya, mengapa pihak berkenaan membenarkan petani itu mengusahakan tanah sebelum ‘memusnahkan’ pula dalam operasi seperti itu sehingga melibatkan 16 agensi kerajaan soal Manogaran.

“Adakah kerajaan berniat untuk menakutkan rakyat? Cara mereka memusnahkan kebun-kebun ini juga menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar kerajaan.

“Bukannya mereka baru tahu malah sudah bertahun-tahun mengenali petani-petani ini serta telah mendapat keuntungan dari kebun-kebun tersebut secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya yang juga Pengerusi DAP Bandar Tanah Rata.

Ops Gading Fasa 1 telah dilancarkan pada bulan Disember 2014. Media melaporkan, operasi fasa pertama itu berjaya merobohkan lebih 80 peratus struktur haram di 2,258.16 hektar kawasan pertanian manakala Ops Gading Fasa 2 pula telah dilancarkan pada bulan Mei lalu.

Kenapa masih keluarkan TOL tapi…

Menyentuh isu lesen pendudukan sementara (TOL), peguam itu pempersoalkan pengeluaran lesen berkenaan sedangkan tanah-tanah pertanian yang sedia ada tidak diuruskan dengan baik.

“Adakah TOL ini diberikan kepada ‘orang luar’?” soalnya.

Beliau turut menzahirkan rasa hairan mengapa tanah-tanah pertanian yang telah diusahakan 20 – 30 tahun masih bergantung kepada TOL dan tidak di  di sini dipajak dalam tempoh masa yang tetap?

“Kerajaan telah mendapat hasil yang banyak daripada pembaharuan permit tersebut, soalnya sekarang bagaimana hasil itu dikembalikan kepada masyarakat Cameron Highlands?,” soalnya.

Kekurangan tenaga buruh

Penguatkuasaan terhadap PATI dalam Ops Gading telah menyumbang kepada krisis tenaga buruh di Cameron Highlands.

Kegusaran itu turut mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dilapor media baru-baru ini mahu supaya isu berkenaan ditangani secara serius memandangkan Cameron Highlands merupakan antara lokasi pengeluaran hasil pertanian yang penting kepada negara.

Bagi menyelesaikan perkara tersebut, Manogaran berkata ia berkait rapat dengan dasar tenaga buruh asing negara ini boleh diibaratkan seperti ‘jenaka’.

“Bagaimana mungkin ramai pekerja asing berjaya lolos masuk ke negara ini – yang kemudiannya ditahan dalam operasi-operasi yang dijalankan.

“Persoalan berikutnya, mengapa kita terlalu bergantung kepada tenaga buruh asing?

“Kenapa kerajaan tidak melaksanakan dasar memberi insentif atau subsidi kepada petani yang mengupah tenaga buruh tempatan?” soalnya.

Ini katanya termasuk insentif alam sekitar kepada petani jika mereka berjaya mengurangkan penggunaan plastik, melupuskan sampah dengan betul, menggunakan baja organic dan sebagainya.

Selain masalah tanah dan tenaga buruh asing Manogaran turut membangkitkan masalah lain yang sedang berlau di Cameron Highlands.

Antaranya ialah seperti isu banjir, tanah runtuh (laluan Tapah – Cameron Highlands), pencemaran bahan kimia akibat penggunaan baja kimia, kesesakan jalan dan penggunaan bag plastik di ladang serta kebun. – Roketkini.com