Berita

Syed Saddiq perlu lapor SPRM isu dedak RM5 juta

GEORGE TOWN, 3 OKT: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan agar segera membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tawaran jutaan ringgit yang didakwa diterimanya daripada orang kanan perdana menteri.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak hairan dengan sogokan yang ingin diberikan pihak lawan Pakatan Harapan (HARAPAN) berkenaan untuk Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (PPBM) itu meninggalkan parti yang turut diasaskannya itu.

“Saya tidak terkejut pun. Beliau perlu segera buat laporan kepada SPRM,” kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP secara ringkas memetik laporan Buletin Mutiara.

Semalam, Syed Saddiq yang terkenal sebagai jaguh debat mendakwa ditawarkan RM5 juta daripada “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan perjuangan PPBM dan seterusnya mengambil biasiswa bagi melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.

Tawaran berkenaan, katanya, dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang didakwanya dirancang oleh penasihat kanan terbabit.

“Semua ini dirancang oleh penasihat kanan (Perdana Menteri) Najib Razak.

“Saya ditawarkan RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu dan mengambil biasiswa ke Universiti Oxford.

“Saya tidak akan tinggalkan Bersatu dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini,” katanya memetik laporan The Malaysian Insight.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Timbalan Presiden HARAPAN berkata, beliau akan menyerahkan kepada Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada akan membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat majlis presiden kelak. – Roketkini.com