Berita

DAP gesa ‘Bapa Pengangkutan Awam’ turunkan harga tambang

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Harga tambang yang mahal menjadi salah satu sebab utama mengapa pengangkutan awam di negara ini tidak mendapat sambutan orang ramai.

“(Datuk Seri) Najib Razak hanya layak digelar ‘Bapa Pemodenan Pengangkutan Awam’ jika dan hanya jika isu berkenaan diselesaikan,” ujar Ahli Parlimen Sedang, Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, kos menaiki keretapi tidak semestinya lebih murah berbanding memandu sendiri.

“Sebagai contoh, seperti pengalaman yang dikongsikan seorang pembaca dalam akhbar The Star, perjalanan menaiki keretapi dari Puchong ke Sunway melalui BRT Sunway menelan belanja sebanyak RM9 sehala atau RM18 bagi perjalanan dua hala.

“Ia tidak termasuk bayaran tempat letak kereta di stesen LRT (RM4) dan kos minyak, dia menganggarkan perjalanan menggunakan LRT adalah sebanyak RM25 berbanding kos memandu sendiri iaitu RM10 – termasuk tol dan tempat letak kereta percuma di pejabat.”

Menurut Kian Ming, jumlah penumpang bagi laluan LRT, Monorail dan Komuter KTM menurun secara mendadak dari suku keempat 2015 ke suku pertama 2016 berikutan tindakan penyedia perkhidmatan terbabit menaikkan harga tambang.

Selain itu, katanya, isu masa dan kebolehpercayaan terhadap pengangkutan awam juga antara faktor mengapa orang ramai tidak memilih untuk menggunakan perkhidmatan itu.

“Sebagai contoh, seseorang hanya memerlukan lebih kurang 30 minit untuk memandu dari Puchong ke Sunway berbeza dengan perjalanan menaiki LRT dan BRT yang memakan masa selama satu jam,” katanya yang juga Penolong Setiausaha DAP Selangor.

Menurutnya, kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan Komuter KTM juga amat rendah walaupun kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM1.4 bilion untuk projek menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Kelang (KVDT).

“Kejadian keretapi tergelincir dan tiba lewat telah mengurangkan kebolehpercayaan Komuter KTM sehingga pengguna berpotensi berfikir dua kali untuk menaiki pengangkutan awam berbanding memandu kenderaan sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Najib Razak menurunkan harga tambang pengangkutan awam dan menjadikan perkhidmatan itu boleh dipercayai dan diakses dengan mudah oleh orang ramai. – Roketkini.com