Berita

SPR didesak turunkan umur layak mengundi, laksana pendaftaran automatik

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Menurunkan had umur layak mengundi dari 21 ke 18 tahun adalah cara terbaik bagi mengatasi masalah yang dihadapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee.

Ini disuarakan beliau sebagai menjawab rungutan agensi terbabit terhadap kesedaran yang rendah dalam kalangan orang ramai, khususnya anak muda tentang kepentingan untuk mendaftar sebagai pemilih.

“Sebagai meraikan semangat demokrasi, dan bagi mengatasi masalah kurang minat anak muda, had umur mengundi perlu diturunkan ke 18 tahun,” katanya yang juga Adun Pasir Pinji dalam kenyataan, hari ini.

“Jika seseorang berumur 18 tahun boleh memilih untuk berkhidmat sebagai tentera demi tanah air, sepatutnya tidak adalah masalah bagi mereka untuk mengundi siapa yang mereka mahu untuk memerintah negara.”

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah seperti dilaporkan media semalam berkata meskipun pelbagai pendekatan dan kempen untuk meningkatkan jumlah pemilih berdaftar telah dilakukan di seluruh negara, tahap kesedaran orang ramai terhadap perkara itu masih rendah.

Hashim dalam laporan Bernama itu dilihat menyalahkan anak muda yang menurutnya sering memberikan pelbagai alasan untuk tidak mendaftar sebagai pemilih antaranya termasuk menganggap pilihan raya adalah berkaitan parti politik.

Mengulas lanjut, Howard berkata, SPR tidak perlu mewajibkan orang ramai untuk mendaftar sebagai pemilih kerana ia melibatkan pindaan Perlembagaan dan akta, sebaliknya mengambil inisiatif untuk mendaftarkan mereka yang layak mengundi melalui sistem pendaftaran automatik.

“Dengan cara begini, soal perlembagaan tidak timbul,” katanya yang menjawab kenyataan Hashim yang berkata bahawa SPR tidak boleh mewajibkan pendaftaran pengundi seperti yang diamalkan negara jiran kerana memerlukan pindaaan Perlembagaan dan akta di Parlimen. – Roketkini.com