Berita

UMNO terus nafi jasa kumpulan kiri Melayu menuntut kemerdekaan

MENTAKAB, 10 OKT: Ahli Jawatankuasa DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji berkata penganjuran acara ‘bertemakan UMNO’ di sebuah sekolah di Putrajaya baru-baru ini merupakan penyimpangan sejarah perjuangan menentang penjajah di negara ini.

Ia jelas dilihat apabila pertandingan kecantikan sekolah bertemakan kemerdekaan yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor itu disulami kibaran bendera dan nyanyian lagu UMNO katanya ketika dihubungi Roketkini.

Adun Mentakab itu berkata, tindakan mengeksploitasi sekolah dan murid-murid seperti itu juga menunjukkan UMNO ketandusan idea dan terdesak menyebarkan dakyah ‘sesat’ mereka.

“Yang berjuang untuk merdeka dan menentang Malayan Union bukan UMNO sahaja tetapi termasuk parti dan pejuang-pejuang yang lain. Mengapa watak-watak selain UMNO itu ditenggelamkan?

“Pahlawan-pahlawan terdahulu seperti Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Janggut, Datuk Bahaman dan ramai lagi pejuang menentang penjajah lain nampaknya diketepikan sedangkan merekalah golongan awal yang mencetuskan penolakan terhadap British,” kata beliau.

Tengku Zul berkata penentangan awal terhadap penjajah juga dapat dilihat dengan kemunculan pertubuhan Angkatan Pemuda Iinsaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya dan sebagainya.

“Mengapa sejarah itu dipotong-potong dan hanya ditonjolkan kononnya hanya UMNO sahaja memperjuangkan kemerdekaan kepada masyarakat dan anak-anak sekolah?” katanya lagi. – Roketkini.com