Berita

Jangan ulangi sejarah kekalahan BERSEKUTU di Sabah – Jimmy Wong

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Mana-mana parti yang bercita-cita untuk menentang Barisan Nasional (BN) secara bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Sabah bakal mengulangi sejarah kekalahan besar parti Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (BERSEKUTU) kata Penasihat DAP Sabah, Jimmy Wong Sze Phin.

Dalam Pilihan Raya Umum 1999, BERSEKUTU yang diasaskan pada 1998 pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh tewas di kesemua 48 kawasan yang ditandingi parti itu malah kebanyakan calon BERSEKUTU hilang deposit.

“Satu-satunya cara untuk menang ialah (pembangkang) bergabung. Inilah peluang keemasan pembangkang di Sabah kerjasama untuk menang melawan BN dalam PRU14.

“Kalau kita kata sendirian boleh menang, ini syok sendiri sahaja,” katanya ketika ditemui Roketkini.

Menurutnya, kerjasama di kalangan pembangkang di Sabah amat penting bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru yang tidak memberikan sebarang kelebihan kepada pembangkang khususnya.

Keadaan itu katanya hanya akan memberikan gambaran negatif seolah-olah parti-parti pembangkang yang bertelagah di kalangan sendiri sebagai alat BN untuk kekal mentadbir.

“Rakyat akan anggap seolah-olah dijadikan alat untuk tolong BN sahaja. Sebab itu parti-parti pembangkang di Sabah sama ada Pakatan Harapan (HARAPAN) ataupun parti-parti tempatan yang lain perlu satu hati,” kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu.

Tambahan pula, terdapat beberapa faktor jelas menunjukkan pembangkang mampu mengatasi BN dalam pilihanraya akan datang selain daripada faktor kemerosotan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

“Faktor yang tiada dalam pilihanraya lalu sudah ada sekarang iaitu dalamm kalangan masyarakat kawasan luar bandar dan bumiputera.

“Dulu tak ada, sekarang masyarakat di kawasan kampung nampaknya sudah bangkit.

“Semasa PRU13, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Shafie Apdal masih bersama UMNO. Sekarang mereka tiada lagi bersama UMNO. Mereka ini semuanya heavyweight pembangkang dan HARAPAN, jadi, peluang untuk menang akan lebih,” kata beliau.

Justeru tegasnya, sekiranya pembangkang di Sabah tidak bekerjasama, sejarah BERSEKUTU akan kembali berulang.

“Jika kita tidak kerjasama, makanya seolah-olah kita saling bunuh-membunuh sesama sendiri,” katanya lagi. – Roketkini.com