Berita

Dulu tuduh ‘DAP komunis’, sekarang UMNO menghadap Parti Komunis China

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Segala tohmahan jahat UMNO selama ini mengaitkan DAP dengan komunis akhirnya terkena batang hidung sendiri apabila UMNO diberi penghormatan berucap sempena kongres Parti Komunis China (CPC) yang dijadualkan pada 18 Oktober ini.

Bagaimana pun, salah seorang pemimpinnya berang apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyindir UMNO di twitter; “Kuncu-kuncu Umno/PAS fitnah DAP komunis tapi bukan DAP, Umnolah yang ucap dalam Parti Komunis Cina. Siapa pengkhianat anti agama sekarang?”

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dilapor media berkata kenyataan Guan Eng itu kononnya sengaja mewujudkan perbalahan antara agama di negara ini.

Sedangkan, siapakah yang selama ini galak memainkan isu-isu sensitif kaum-agama soal Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Howard Lee.

“Selepas berpuluh-puluh tahun memomokkan DAP dengan istilah ‘parti cina, kafir dan komunis’, kini UMNO sendiri telah dijemput berucap di kongres Parti Komunis China.

“Jemputan ini sukar mereka tolak sebab  terlalu terhutang budi dengan parti komunis itu,” katanya dalam kenyataan.

Menjawab tuduhan DAP juga menjalinkan hubungan dengan parti negara luar, Howard yang juga Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY) berkata, daripada hubungan dengan 120 parti di 80 negara, tiada satu pun kerjasama dengan parti berideologi komunis.

“Bezanya ialah, DAP tidak ada hubungan dengan satu pun parti komunis tetapi UMNO mempunyai kerjasama erat dengan parti komunis yang paling berkuasa di dunia.

“Soalnya sekarang adakah Zambry akan memberitahu rakyat Malaysia bahawa DAP bukan parti komunis seperti yang dimomokkan selama ini?

“Adakah Zambry akan memohon maaf terhadap segala isu sensitif yang timbul? Adakah UMNO akan berhenti membohongi rakyat Malaysia?” Soalnya lagi. –Roketkini.com