Berita

Langsung tidak gentar, DAP adakan pemilihan semula 12 November depan

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus menyatakan rasa tidak puas hati dengan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang mengkehendaki DAP melaksanakan pemilihan semula dengan pelbagai syarat.

Pun begitu beliau menegaskan, persetujuan parti untuk mengadakan semula pemilihan merupakan komitmen parti demi membuktikan “tiada apa-apa yang disembunyikan”.

Beliau juga mengumumkan bahawa DAP akan mengadakan pemilihan semula berdasarkan senarai wakil 2012, seperti yang diarahkan oleh ROS pada 12 November hadapan.

“Kita pada asalnya ingin mengadakan pemilihan parti yang telah ditetapkan bulan Mac tahun depan – tak perlu pemilihan semula; tapi ini tidak dipersetujui dan mereka (ROS) terus menyatakan mesti ada pemilihan semula berdasarkan wakil 2012.

“Kita telah adakan satu pemilihan pada 2013 (mengikut kehendak ROS); ini pun tidak diiktiraf. Empat tahun kemudian daripada pemilihan semula 2013, kita terpaksa adakan pemilihan semula pada tahun ini – kerana kita nak tunjuk bahawa kita tak ada apa-apa yang nak disembunyikan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan sebentar tadi.

ROS telah mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada 7 Julai lalu yang baru dengan dakwaan kononnya pelantikan CEC pada 29 September 2013 adalan tidak sah.

Selain berdasarkan aduan ahli-ahli yang telah meninggalkan parti dan bermasalah dengan kepimpinan, termasuk mereka yang tidak berjaya dalam pemilihan, tindak-tanduk ROS itu dipercayai turut dipengaruhi oleh laporan palsu penulis rekaan Father Agustus Chen empat tahun lalu dan setelah setelah dibangkitkan semula oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin.

“Pihak DAP menyatakan sekali lagi bahawa kita memang tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat ROS memandangkan yang pertama, empat tahun lewat (untuk pemilihan semula),” jelas beliau. – Roketkini.com