Berita

Menjelang PRU14, Najib Razak pun tiba-tiba peduli nasib masyarakat India

IPOH, 9 OKT: Sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seolah-olah prihatin tentang kemerosotan pengambilan pelajar berketurunan India negara ini ke institusi pengajian awam sekadar helah politik semata-mata.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran dalam kenyataannya berkata, Najib berbuat demikian setelah hampir dua penggal memegang tampuk kuasa memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Situasi yang sama katanya hampir sama berlaku pada PRU13 apabila kerajaan menandatangani MOU dengan pertubuhan Hindraf kononnya untuk membaik pulih status sosioekonomi masyarakat India negara ini yang jauh ketinggalan.

“Hakikatnya, rakyat Malaysia dari kumpulan minoriti, kaum India khususnya terus terpinggir dan memang berasa tidak berpuas hati akibat kadar kemasukan ke universiti awam yang semakin merosot.

“Walaupun minoriti ini sebahagian dari rakyat Malayisa, peminggiran terhadap mereka semakin tinggi tanpa sebarang tindakan tuntas kerajaan menyelesaikannya,” kata beliau.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, sikap kerajaan BN terhadap kemasukan pelajar India tempatan ke universiti awam negara ini jelas apabila pelajar negara asing ramai menerima pembiayaan MARA; pada masa yang sama kumpulan minoriti terus diabaikan.

Lebih menyedihkan, pembiayaan kerajaan terhadap pelajar asing itu merupakan hasil dari kutipan cukai rakyat negara ini.

“Adakah Perdana Menteri memiliki kesungguhan untuk memperbetulkan proses kemasukan ke universiti awam ini?“ soalnya.

Akibatnya jelas Kula, wujud elemen yang mencurigakan terhadap pelajar yang lebih layak diterima untuk melanjutkan pengajiannya.

Malah, beliau mendedahkan, wujud kebimbangan wajar tentang kemasukan pelajar yang tidak layak ke universiti awam ekoran hubungan ‘orang dalam’.

Beliau menegaskan, sekiranya Najib benar-benar prihatin, beliau tidak perlu memperbaharui ‘janji-janjinya’ terhadap masyarakat India.

“Masyarakat India sudah tahu helah politik BN yang hanya datang ketika musim pilihan raya. Mereka telah menunggu masa yang terlalu lama,” katanya lagi. – Roketkini.com