Berita

Pemilihan semula DAP: “Bagaimana kita nak hantar surat kepada Karpal Singh?”

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah memberikan beberapa syarat janggal kepada DAP dalam mengadakan pemilihan semulanya 12 November depan.

Ini termasuklah mensyaratkan DAP untuk memuatkan notis kongres khas pemilihan semula itu di dalam akhbar serta mewujudkan portal bagi membolehkan perwakilan memeriksa butiran mereka secara atas talian.

“Ini adalah sesuatu yang ‘unprecedented’ dari pihak ROS.

“Tetapi DAP bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dan terpaksa mematuhi syarat-syarat sebegitu,” kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Anthony Loke.

Beliau terlebih dahulu mengulas tentang beberapa kesilapan angka yang dibuat oleh pihak ROS, serta menekankan bahawa akan wujud beberapa pengecualian daripada senarai perwakilan 2012 yang akan digunakan dalam pemilihan semula tersebut.

“Kita telah bincangkan dengan ROS dan mereka telah bersetuju. Sesiapa yang telah meninggal dunia (dalam tempoh empat tahun lalu) akan dikecualikan.

“Nama masih ada dalam senarai, tetapi mereka tidak perlu diberikan notis,” ujar Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban.

“Bagaimana kita nak hantar surat kepada Karpal Singh?” katanya lagi.

DAP katanya menerima layanan khas daripada ROS, memandangkan tidak pernah ada mana-mana parti politik dikenakan syarat yang bermacam-macam.

Mengulas perkara tersebut, Naib Pengerusi Kebangsaan, Teresa Kok berkata, beliau hanya berharap tiada isu berbangkit setelah DAP mematuhi setiap satu syarat-syarat yang telah dikenakan oleh pihak ROS.

“Kita harap ini adalah yang terakhir dan ROS tidak ada isu lagi dan boleh membiarkan kita beroperasi,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kebangsaan tengah hari tadi.

Pihak parti menyifatkan arahan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) setelah empat tahun perkara tersebut selesai di mahkamah sebagai sesuatu yang amat janggal.

Polemik pemilihan semula CEC dicetuskan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Tengku Sariffuddin apabila beliau cuba mengelak daripada menjawab analisis politik DAP terhadap majikannya.

Tengku Sariffuddin menggertak DAP dengan berkata bahawa ia mungkin tidak boleh menggunakan lambang roket pada pilihanraya tidak lama lagi setelah gagal menafikan analisis Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong tentang realiti kepimpinan Datuk Seri Najib Razak pasca skandal 1MDB. – Roketkini.com