Berita

‘Saya akan beri RM1,000 kepada sejuta rakyat Malaysia’ – Lim Kit Siang

KLANG, 9 OKT: Sekiranya dakwaan bahawa Tun Dr Mahathir telah membayar RM1 bilion kepada Lim Kit Siang dapat dibuktikan, Ketua Parlimen DAP itu berjanji untuk menyumbangkannya kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah.

“Jika Mahathir telah memberi saya rasuah sebanyak RM1 bilion, saya akan memberi sejuta orang rakyat Malaysia yang berpendapatan bawah RM1,200 sebulan, RM1000 setiap seorang,” umumnya dalam ceramah di Pandamaran semalam.

Kit Siang didakwa telah menerima RM1 bilion daripada Pengerusi PPBM itu bagi membolehkannya menyertai Pakatan Harapan, serta meletakkan Mahathir sebagai pengerusi.

Selain itu, rasuah tersebut juga didakwa bertujuan untuk mendiamkan Kit Siang daripada bersuara tentang skandal ‘forex’ Bank Negara Malaysia serta memberikan kerusi selamat untuk ditandingi Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dakwaan liar itu dibuat oleh blogger dalam buangan, Raja Petra Kamaruddin dalam tulisannya tiga hari lalu.

Apa yang menarik, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki menjelaskan bahawa pihak SPRM tidak mempunyai kuasa dalam hal sumbangan dana politik, dan Akta SPRM tidak meliputi kesalahan politik wang.

“Ini hanya alasan untuk menutup kegagalan SPRM bertundak ke atas skandal ‘derma’ RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” jelas Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

“SPRM dengan jelas memberikan definisi sempit terhadap ‘korupsi’ bagi menjustifikasi tindakan mereka dalam kes Perdana Menteri dan skandal 1MDB,” tambah beliau lagi.

Kit Siang semalam berucap dalam siri ceramah menuju perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi pada 14 Oktober ini di Padang Timur, Petaling Jaya. – Roketkini.com