Berita

DAP mahu lihat RUU hapus hukum mati mandatori sebelum Parlimen bersidang

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman diminta menyerahkan draf rang undang-undang menghapuskan aspek mandatori hukuman mati berhubung kes melibatkan dadah kepada ahli-ahli Parlimen sebelum sidang dewan rakyat bermula.

Ini bagi membolehkan semua pihak mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan ke atas rang undang-undang tersebut supaya perbahasan yang baik dapat berlangsung dalam sesi yang akan bermula 23 Oktober hadapan.

“Di Malaysia, kempen untuk menghapuskan hukuman mati mengambil pendekatan secara berperingkat.

“Hasil dari perbincangan dalam persidangan parlimen pada Jun 2011 mencapai konsensus untuk mengutamakan agenda bagi menghapuskan hukuman mati mandatori dan mengembalikan kuasa menjatuhkan hukuman kepada budi bicara hakim, terutama dalam kesalahan melibatkan dadah,” kata Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP itu berkata, Hari Menolak Hukuman Mati Sedunia ke-15 dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran tentang kenapa golongan miskin lebih berisiko dijatuhkan hukuman itu.

Kempen tersebut antara lain menyatakan bahawa ketidak-adilan sosial dan ekonomi mempengaruhi keadilan terhadap mereka yang dijatuhkan hukuman mati atas beberapa alasan.

Ini termasuklah kekurangan sumber (sosial dan ekonomi, selain pengaruh politik) untuk membela diri dan dalam sesetengah kes akan didiskriminasi kerana status sosial.

Menurut Chin Tong, perbahasan mengenai draf pindaan itu amat penting memandangkan hukuman mandatori itu tidak boleh diubah kerana pensabitan yang tidak tepat berdasarkan proses yang mempunyai kelemahan tidak boleh ditarik semula atau diperbetulkan.

“Nyawa individu yang tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman itu tidak dapat dikembalikan.

“Tiada sesiapa yang boleh menjamin proses siasatan, perbicaraan serta pensabitan hukuman yang tidak berat sebelah atau bebas daripada rasuah.

“Baru minggu lepas, seorang warga Korea Utara yang disiasat dalam kes berkaitan dadah dibebaskan di Seremban selepas mahkamah mendapati seorang pegawai polis menipu dalam siasatan. Kes seumpamanya boleh membawa hukuman mati,” kata beliau.

Pada 25 Julai lalu, Azalina telah memaklumkan persidangan Parliamentarians for Global Action bahawa pindaan bagi menghapuskan aspek mandatori dalam hukuman mati melibatkan kes dadah akan dibentangkan kepada kabinet sebelum dibahaskan di Parlimen.

Dalam jawapan Parlimen bertarikh 7 Ogos 2017, kerajaan mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan satu rang undang-undang yang akan meminda Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya.

Pindaan tersebut akan untuk menyerahkan kuasa kepada badan kehakiman dalam mempertimbangkan hukuman yang dianggap setimpal bagi menggantikan hukuman mati mandatori. – Roketkini.com