Berita

Pemilihan semula bukan untuk pertahan jawatan – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN, 10 OKT: Kesediaan DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) adalah lantaran birokrasi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), bukannya demi mempertahankan jawatan, tegas Lim Guan Eng.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pemilihan semula tersebut diharapkan dapat menutup ‘mulut-mulut sumbang’ yang mahu supaya DAP diharamkan.

“Kita (DAP) telahpun menjelaskan pemilihan sebelum ini diadakan secara sah dan sahih, dipantau serta diuruskan oleh sebuah syarikat perakaunan antarabangsa, tapi mereka (ROS) mahu kita memulakan semula.

“Sungguhpun ini tahun 2017, kita (DAP) bersedia melakukan pemilihan semula berdasarkan senarai wakil 2012,” katanya dalam sidang media hari ini di Komtar lapor Buletin Mutiara.

Beliau berkata, DAP akan melantik satu lagi syarikat audit antarabangsa yang bebas untuk menguruskan perjalanan sesi pemilih CEC itu yang dijadualkan berlangsung 12 November hadapan.

Dalam sidang medianya semalam, Guan Eng menzahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ROS mendesak DAP melaksanakan pemilihan semula dengan pelbagai syarat tambahan.

Persetujuan parti untuk mengadakan semula pemilihan itu tegasnya merupakan komitmen parti demi membuktikan ‘tiada apa-apa yang disembunyikan’ seperti yang difitnah oleh sesetengah pihak.

“Kita pada asalnya ingin mengadakan pemilihan parti yang telah ditetapkan bulan Mac tahun depan – tak perlu pemilihan semula; tapi ini tidak dipersetujui dan mereka (ROS) terus menyatakan mesti ada pemilihan semula berdasarkan wakil 2012.

“Kita telah adakan satu pemilihan pada 2013 (mengikut kehendak ROS); ini pun tidak diiktiraf. Empat tahun kemudian daripada pemilihan semula 2013, kita terpaksa adakan pemilihan semula pada tahun ini – kerana kita nak tunjuk bahawa kita tak ada apa-apa yang nak disembunyikan,” kata beliau. – Roketkini.com