Berita

Pendidikan itu hak, bukan hadiah Deepavali

KLANG, 10 OKT: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyediakan 700 tempat tambahan di institusi pengajian tinggi awam bagi kaum India bukan sesuatu yang wajar diraikan.

“Ini bukan hadiah Deepavali,” tegas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; mengulas perkara terbabit.

Kata beliau, pengumuman tersebut tidak sepatutnya jadi bahan sorak memandangkan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempersiapkan peluang pendidikan yang mencukupi untuk rakyatnya, terutama sekali golongan rentan.

“Malah pengumuman Najib ini dibuat setelah presiden MIC, Dr S Subramaniam membangkitkan isu 745 orang pelajar India yang berkelayakan namun tidak mendapat tempat di IPTA.

“Apa sebabnya mereka tidak mendapat tempat? Kenapa ahli politik dan Perdana Menteri harus masuk campur sekiranya sistem menawarkan tempat berdasarkan meritokrasi?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Charles, semua pelajar daripada komuniti rentan seharusnya diberikan keutamaan mendapat peluang pendidikan, termasuklah pelajar daripada sekolah-sekolah Tamil.

“Pelajar daripada enam sekolah Tamil telah berjaya menggongol sepuluh pingat emas di acara International YOung Innovators Awards 2017 di Jakarta.

“Ramai yang telah memenangi anugerah-anugerah berprestij dalam bidang sains. Di negara lain, bakat seperti ini diberikan galakan dengan biasiswa dan dorongan-dorongan lain,” tambahnya. – Roketkini.com