Berita

Himpunan 14 Oktober tetap diteruskan di Padang Timur

PETALING JAYA, 11 OKT: Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi yang dijadualkan 14 Oktober ini di Padang Timur Petaling Jaya akan tetap diteruskan walaupun mendapat halangan dari pihak polis.

Menurut Timbalan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Mohamad Sabu, pihak penganjur tidak berhasrat untuk mengubah lokasi acara berkenaan memandangkan persediaan awal telah pun dibuat.

“Himpunan ini tidak bergerak, kita dah siapkan sistem pembesar suara, skrin dan lain-lain dan kosnya juga agak tinggi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebentar tadi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din menolak notis perhimpunan yang dikemukakan penganjur mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 ekoran faktor-faktor lalu lintas.

“Kami semalam menerima surat dari polis, (mereka beritahu) tempat itu tidak sesuai untuk buat himpunan kerana masalah trafik.

“Kami akan tulis semula surat pada polis, untuk memberitahu akan bekerjasama bagi mengawal arus aliran trafik bersama dengan petugas MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya),” kata beliau.

Lokasi alternatif yang dicadangkan Polis ialah di Stadium Kelana Jaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilapor media berkata pihaknya menerima empat laporan polis daripada penduduk sekitar.

“Kita ada terima beberapa laporan polis daripada penduduk setempat, tidak kurang empat laporan polis oleh warga sekitar kerana lalu lintas yang akan menyukarkan penduduk sekitar,” kata Mohamad Fuzi. – Roketkini.com

Kredit foto: Facebook rasmi Mohamad Sabu