Berita

Saya tidak akan jadi Perdana Menteri – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyangkal dakwaan jahat Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang menggambarkan kononnya beliau akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

“Apapun kombinasi pembahagian kerusi antara parti-parti komponen Pakatan Harapan di Semenanjung Malaysia dan seluruh negara, Perdana Menteri adalah orang Melayu dan bukan daripada DAP.

“Dan saya tentunya tidak akan menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Annuar dan jentera propaganda UMNO membuat anggapan demikian atas dakwaan kononnya DAP memiliki Ahli Parlimen paling ramai dalam kalangan parti komponen HARAPAN.

“Annuar dan semua ‘badut’ UMNO ini ternyata silap kerana DAP tidak akan menjadi blok parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” jelas beliau.

Pada PRU13 lalu, gabungan pembangkang memenangi 89 daripada 222 kerusi Parlimen manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kerusi.

“Daripada 89 kerusi, DAP menang 38 kerusi iaitu 31 di Semenanjung dan tujuh di Sabah dan Sarawak; PKR menang 30 kerusi (28 di Semananjung dan dua di Sabah dan Sarawak) dan PAS pula menang 21 kerusi (Semenanjung).

“Seperti yang pernah saya katakan, 10 peratus perubahan undi Melayu dan lima peratus undi bukan Melayu dari BN ke HARAPAN di Semenanjung dalam PRU14 berbanding keputusan PRU13 lalu akan membolehkan HARAPAN memenangi 113 daripada 165 kerusi parlimen dengan hanya 50 kerusi dimenangi BN dan dua kerusi PAS,” ujar Kit Siang lagi.

Dalam senario kemenangan 113 kerusi HARAPAN itu jelasnya, kemungkinannya DAP menang 32 kerusi manakala tiga komponen HARAPAN yang lain pula ialah sebanyak 39,32 dan 10 masing-masing.

“Parti politik dengan blok terbesar di Semenanjung ketika itu ialah PKR atau Bersatu. Bukannya DAP,” tegasnya. – Roketkini.com