Berita

Kenal pasti punca sebelum denda RM1,000 lewat daftar kelahiran anak

KULAI, 12 OKT: Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji punca utama yang menyebabkan ibu bapa lewat mendaftarkan kelahiran anak sebelum menghukum mereka dengan denda yang tinggi.

“Adakah ia berpunca daripada kemalasan? Sikap tidak bertanggungjawab? Buta huruf? Atau kemiskinan?” kata Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam kenyataan, hari ini.

“Jika kelewatan mendaftarkan anak itu disebabkan oleh ibu bapa yang buta huruf dan/atau miskin, mengenakan denda yang tinggi tidak akan menyelesaikan masalah itu.”

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat kerajaan yang mahu meningkatkan denda daripada RM50 ke RM1,000 terhadap ibu bapa yang gagal mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh dua bulan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata bahawa peningkatan jumlah denda itu hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Selain menyifatkan peningkatan denda itu terlalu tinggi, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, cadangan UMNO-Barisan Nasional (BN) itu akan menyebabkan ramai kanak-kanak tidak bernegara.

“November tahun lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa terdapat 290,437 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak bernegara di Malaysia – Jumlah yang besar jika dibandingkan dengan populasi Perlis.

“Kami tidak mahu lebih ramai kanak-kanak menjadi tidak bernegara,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau dan Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak bersetuju dengan ibu bapa yang mengambil ringan tentang pendaftaran kelahiran anak.

Beliau juga ingin tahu apa yang akan berlaku ke atas anak yang dilahirkan jika ibu bapa mereka gagal menepati tempoh pendaftaran yang ditetapkan dan tidak mampu untuk membayar denda berkenaan.

“Adakah pendaftaran itu akan ditolak bulat-bulat dan anak berkenaan jatuh dalam kategori tidak bernegara?” soalnya. – Roketkini.com