Berita

Teguran Raja-Raja Melayu: Kenapa Najib dan menteri kabinet membisu?

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sikap membisu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya terhadap teguran Majlis Raja-raja Melayu berhubung isu keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Kit Siang berkata, pelbagai pihak telah memuji dan menyokong kenyataan yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu itu yang dilihat bertepatan dengan suasana semasa yang semakin menuju ke arah ekstremisme dan berfikiran sempit.

“Nampaknya Kabinet bukan sahaja telah lupa akan prinsip pembangunan negara yang termaktub dalam Perlembagaan, mereka juga lupa terhadap prinsip Rukunegara seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan yang ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad itu, Raja-Raja Melayu percaya bahawa perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama adalah komponen utama dalam memastikan kestabilan negara.

“Setelah 60 tahun mencapai kemerdekaan, amatlah penting untuk rakyat terus mengamalkan nilai-nilai bermasyarakat dan bernegara berpandukan prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Perlembagaan serta didukung oleh semangat yang terkandung di dalam Rukun Negara,” kata kenyataan itu, semalam.

Kenyataan itu juga menyentuh tindakan sesetengah individu yang disifatkan sebagai keterlaluan sehingga dibimbangi boleh “menjejaskan keharmonian hubungan antara rakyat pelbagai agama dan kaum”.

“Raja-Raja berpendirian bahawa isu keharmonian membawa implikasi yang lebih mendalam sekiranya sesuatu tindakan itu bersabit dengan dan dilakukan atas nama Islam.

“Imej Islam sebagai agama yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari oleh tindakan-tindakan yang bersifat keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Mengulas lanjut, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Najib sebenarnya telah gagal dalam usaha mempromosikan dasar kesederhanaan yang dipeloporinya menerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) berikutan kenyataan yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu itu.

Malah, katanya, ia turut dapat dilihat menerusi perletakan jawatan bekas Pengerusi Eksekutif dan pengasas GMM, Datuk Saifuddin Abdullah yang sekarang menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) dan menjadi Ketua Setiausaha gabungan itu. – Roketkini.com