Berita

Pulau pinang catat kadar pengangguran rendah, ditadbir baik

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Walaupun berlaku penutupan kilang di Pulau Pinang, negeri itu mencatatkan kadar pengangguran kedua terendah iaitu pada 2.1 peratus tahun lepas berbanding 11 negeri lain di negara ini.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, ia menunjukkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) telah berjaya membawa masuk banyak nilai tambah dalam bentuk pelaburan ke negeri itu.

Beliau yang juga Pengarah Strategik Pilihan Raya DAP berkata demikian dalam kenyataan hari ini memetik data yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, memetik data yang sama, beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Pulau Pinang juga merupakan kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan nilai RM47,322 diikuti Selangor (RM44,616).

“Pertumbuhan KDNK sebenar Pulau Pinang adalah 5.6 peratus pada 2016, 5.5 peratus pada 2015 dan 8 peratus pada 2014. Pertumbuhan KDNK sebenar Pulau Pinang di tangga yang kedua pada 2015, kelima pada 2015 dan ketiga pada 2016,” ujarnya.

Malah, hanya Pulau Pinang dan Selangor sahaja yang berjaya menduduki tangga kelima tertinggi dalam penilaian pertumbuhan KDNK sebenar dari 2014 hingga 2016, tambah Kian Ming.

Manakala bagi aspek pendapatan median dan purata isi rumah pula, katanya, Pulau Pinang berada di kedudukan kelima di belakang KL, Selangor, Johor dan Melaka dengan nilai RM5,409 (median) dan RM6,771 (purata).

“Jika dilihat pendapatan median dan purata isi rumah, sebagai contoh pendapatan isu rumah dibahagikan dengan jumlah orang dalam setiap rumah, kita akan mendapati Pulau Pinang di kedudukan ketiga dengan pendapatan median dan purata isi rumah masing-masing RM1,595 dan RM2,402,” ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, Pekali Gini – mekanisme bagi menentukan kesenjangan pendapatan – menunjukkan Pulau Pinang mengalami penurunan kelima terbesar daripada kadar 0.364 pada 2014 kepada 0.356 pada 2016, iaitu pengurangan sebanyak 0.008.

Data yang menunjukkan perkembangan positif di Pulau Pinang itu kata Kian Ming membuktikan bahawa negeri itu ditadbir dengan asas ekonomi yang kukuh dan mapan oleh HARAPAN. – Roketkini.com