Rencana

Setelah pecah botol arak, ‘Calon MB Selangor’ mahu jual ikan pula?

Kurang beberapa jam sebelum himpunan anti-rasuah 14 Oktober dilangsungkan, kita tiba-tiba diberitahu bahawa ketua kumpulan geng Baju Merah, Jamal Yunos sungguh-sungguh mahu ‘turut serta’ dalam himpunan itu – tapi sebagai penjual ikan.

Sudah tentu kita maklum, berahi Jamal itu bukanlah untuk menuntut agar rasuah dan kleptokrasi dihapuskan – tapi sekadar mencari publisiti murah – mungkin supaya namanya naik dalam senarai pendek calon pilihan raya umum nanti; sama ada di kerusi negeri datau Parlimen, itu saya kurang pastilah.

Jamal yang sebelum ini terkenal dengan jolokan taukeh ikan bakar Sekinchan mungkin ada legitimasi untuk ‘protes’ jual ikan Sabtu ini memandangkan ikan kembung naik harga – kononnya kenaikan itu akibat manipulasi taukeh-taukeh ‘penyokong DAP’.

Saya hanya mampu tersengih kerana anak Sungai Besar itu seolah-olah tidak tahu tentang amaran jabatan meteorologi mengenai fenomena air pasang besar yang menyebabkan laut bergelora sekaligus bekalan ikan sedikit terjejas.

Kadang-kadang, terdetik juga kasihan saya terhadap Jamal yang beriya-iya benar membodek bos-bosnya – daripada bertuala ke SUK Selangor, demo keranda, pecah botol bir hinggalah mahu menjual ikan dalam karnival himpunan rakyat – entahkan dapat entahkan tidak hajatnya nanti jadi bakal calon YB.

Hasrat Jamal untuk menjual ikan di karnival rakyat anti-rasuah esok sampai ke telinga Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Sebagai bos kepada Pihak Berkuasa Tempatan PJ, sudah tentu Datuk Azizi bertindak professional demi menjamin kejayaan segala program dan aktiviti yang dianjurkan di kawasan seliaannya – beliau minta Jamal mohon permit atau berdepan tindakan.

Baik budi Bahasa Datuk Bandar itu hulurkan, lain pula yang dibalas Jamal. Katanya; “Datuk Bandar jangan setakat pandai nak memberi amaran kepada saya. Kalau Datuk Bandar betul-betul ketua kepada penguatkuasa, minta dia turun esok tempat saya jual ikan. Saya nak mandikan air ikan atas kepala Datuk Bandar.”

Begitulah perangai Jamal, orang UMNO merangkap orang kuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Saya rasa, Najib pun naik muak dan malu dengan peel Jamal tersebut.

Apapun ugutan dan ancaman Jamal terhadap Datuk Bandar itu, ia mencerminkan provokasi yang sengaja dicetus sebagaimana pernah dilakukannya sewaktu membawa gerombolan ‘budak sekolah’ turun ke KL suatu ketika dulu.

Saya kira, disinilah rakyat memerlukan kebijakan polis untuk memastikan segalanya berjalan aman damai yang bukan hanya digalas oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Entah, saya juga tidak pasti berapa ramai ‘orang-orang’ Jamal yang akan datang esok. Tetapi, sebagai rakyat yang sayangkan negara dan anti-rasuah; kita harus turun beramai-ramai dan lontarkan perasaan kita, semoga gegaran di Padang Timur esok akan sampai ke Putrajaya!– Roketkini.com