Berita

Hanya UMNO yang beriya mahu Kit Siang jadi PM

PETALING JAYA, 16 OKT: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas ‘kegilaan’ UMNO yang giat menyebarkan dakyah songsang dengan memberi gambaran kononnya Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Hraapan berjaya menduduki Putrajaya.

“Mereka cakap PM selepas Najib ialah Lim Kit Siang. Tapi Kit Siang cakap bukan. Tun Dr Mahathir juga kata bukan.

“Nampaknya hanya UMNO sahaja mahu Kit Siang jadi perdana menteri,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP, menyifatkan tohmahan jahat mengaitkan DAP dengan fahaman komunis adalah tindakan ‘tidak siuman’.

“Ada orang cakap DAP komunis! Kuncu-kuncu mereka cakap Chin Peng dan Lim Kit siang adalah sepupu. Kerana kononnya sepupu, jadi, saya merupakan anak saudara Chin Peng – oleh kerana saya anak saudara Chin Peng maka saya komunis?

“Ini sudah gila!” – Lim Guan Eng (Foto oleh Fatih Hassan Nordin)

“Ini sudah gila!” katanya berucap di Perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi dekat sini.

Sebaliknya beliau dengan nada sinis mempersoalkan UMNO yang diberi penghormatan untuk berucap dalam Kongres Parti Komunis China yang bakal dijadualkan 18 Oktober ini.

“Lagi gila bila tuduh kita komunis. Bila parti komunis (China) ada himpunan besar di Beijing, parti mana yang dijemput hadir dan satu-satunya parti diberi penghormatan untuk berucap?” soalnya dijawab dengan “UMNO!” Oleh hadirin.

“DAP tak langsung dipanggil. Kalau komunis, macam mana kita tidak dijemput?” soalnya lagi.

Guan Eng turut membuka pekung UMNO dan MCA yang cuba mengelirukan rakyat Malaysia dengan dua tuduhan fitnah yang bercanggah

Katanya, jika di hadapan orang Melayu UMNO menuduh kerajaan Pulau Pinang anti-Islam , MCA pula membuat tohmahan bertentangan dengan mendakwa kerajaan Pulau Pinang meminggirkan orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina negeri itu.

Segala tohmahan jahat ini dibuat memandangkan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang giat memberi peruntukan dan penambahbaikan kepada institusi Islam negeri itu jauh lebih baik berbanding pentadbiran BN sebelumnya. – Roketkini.com