Berita

Himpunan Sayangi Malaysia meriah, zahirkan kekuatan tolak kleptokrat

Peserta mengangkat plakad

PETALING JAYA, 16 OKT: Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur Sabtu lalu berjaya menyatukan ribuan peserta meski acara tersebut dibantah pihak polis.

Apa yang membanggakan, cuaca terik bukan juga penghalang peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan kaum himpunan untuk berkumpul di sekitar padang tersebut seawal jam 2 petang.

Berucap di acara kemuncak, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata himpunan tersebut terbukti aman meski ada dakwaan kononnya ia mengganggu dan boleh mencetuskan kacau bilau.

“Bila mereka lihat ada sokongan rakyat, ada usaha untuk batalkan perhimpunan ini kononnya mungkin ada rusuhan. Adakah ada rusuhan?

“Kita manusia yang ada tertib, yang mempunyai adat, kita bukan penyamun,” kata mantan perdana menteri itu.

Himpunan turut diwarnai dengan tarian kebudayaan masyarakat India

Dr Mahathir sebelum itu beliau menzahirkan kekesalan kerana memberi peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memimpin negara.

“Saya tak sangka anak Tun Razak boleh jadi ‘penyamun’. Ini adalah anak seorang yang kita hormati kerana khidmatnya kepada negara.

“Tapi Datuk Seri Najib tidak sedikit pun tiru bapanya,” katanya lagi.

Terlebih dahulu pada sesi petang, Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh turut mengulas bantahan polis terhadap perhimpunan tersebut.

Sasterawan Negara A Samad Said mendeklamasikan puisi di perhimpunan Sayangi Malaysia

“Kita tahu mereka (polis) ada kekangan dari atasan mereka.

“Walau bagaimanapun, hari ini kita mampu buktikan bahawa kita berhimpun secara aman dan ini juga merupakan hak kita,” katanya.

Menurutnya walaupun Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan pada 2012 bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat berhimpun secara aman, namun ia seolah-olah disalah guna.

“Lima tahun kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin politik, aktivis-aktivis ditangkap di bawah akta ini,” katanya lagi.

Himpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi dianjurkan bagi memberi pencerahan kepada rakyat berkenaan skandal terbesar 1MDB melibatkan penyelewengan puluhan bilion ringgit.

Selain sesi pidato pimpinan HARAPAN, himpunan berbentuk karnival itu turut menyajikan pelbagai acara menari seperti persembahan kebudayaan, pameran dan sebagainya. – Roketkini.com