Rencana

Kesetiaan dalam perjuangan, Belasungkawa untuk Lau Dak Kee

Lau Dak Kee meninggal dunia hari ini pada usia 74 tahun. Salam takziah kepada keluarga tokoh politik veteran ini yang merupakan salah seorang pengasas DAP.

Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada parti. Perjuangan beliau adalah kisah duri dan air mata, penuh dengan penderitaan dan pancaroba. Mendiang turut menjadi mangsa tahanan tanpa bicara ISA. Namun semangat perjuangannya kekal sehingga akhir hayatnya.

Saudara Lau pernah menyandang jawatan Pengerusi DAP Perak serta dipilih sebagai wakil rakyat di peringkat Parlimen selama dua penggal dan Dewan Undangan Negeri bagi tiga penggal.

Walaupun beliau menghabiskan kebanyakan karier politiknya di Perak, beliau sebenarnya berasal dari Selangor. Dilahirkan di Puchong pada 1943, beliau telah belajar di tiga sekolah yang berbeza, iaitu SJK (C) Han Ming, SJK (C) Sungai Way dan Sekolah Menengah Confucian.

Anak Selangor bertanding di Pahang

Disambut isteri dan anak-anak selepas dibebaskan daripada tahanan ISA

Lau telah menjadi calon DAP dalam pilihanraya kecil Ulu Selangor pada tahun 1972 selepas kematian Ahli Parlimen di kawasan tersebut, Khaw Khai Boh (Timbalan Presiden MCA). Lawan Lau adalah Michael Chen Wing Sum, juga mewakili MCA untuk pihak Perikatan. Masa itu Barisan Nasional belum lagi ditubuhkan. DAP telah bertanding kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 1969 tetapi tewas.

Oleh kerana kereta jarang digunakan di Hulu Selangor ketika itu, Lau kerap berjalan atau berbasikal sepanjang kempen, walaupun jarak antara kawasan utara dengan selatan Hulu Selangor adalah kira-kira 60km. Disebabkan terlalu gigih berkempen meraih undi, berat badannya merosot lebih 20kg selepas PRK tersebut.

“Isu yang berbangkit dalam kempen itu adalah ideologi, prinsip dan dasar. Sebagai orang baru, saya telah kalah dalam PRK tersebut dengan undi majoriti lebih 5,000 undi. Selepas itu saya terus berkhidmat sebagai setiausaha politik manakala Michael telah dilantik oleh kerajaan menjadi Menteri,” katanya dalam satu wawancara setelah beliau bersara daripada bergiat dalam politik. (Sila lihat maklumat tambahan di akhir tulisan ini)

Walaupun bukan anak jati negeri Pahang, Lau kemudiannya telah diamanahkan untuk bertanding di Parlimen Bentong pada 1974. Namun, kurang sokongan parti seperti ketiadaan tenaga kerja penuh masa dan dana telah menyebabkan beliau sekali lagi. Kali ini tewas kepada penyandang MCA Chan Siang Sun yang kemudiannya menjadi Menteri.

Selepas PRU 1974, mendiang dilantik sebagai penasihat DAP Pahang. Tugas utama beliau adalah untuk mengembangkan organisasi parti di negeri tersebut dengan menambahkan ahli akar umbi serta melancarkan program parti dari semasa ke semasa. Mendiang turut dilantik menganggotai CEC pada tahun yang sama. Pada 1978, beliau dipilih sebagai calon parti untuk bertanding kerusi parlimen Bentong, namun kalah kepada Chan Siang Sun sekali lagi.

Persekitaran politik pasca-1978 menyebabkan Lau memilih untuk berundur daripada barisan hadapan perjuangan politik bagi menumpukan kepada bidang perniagaan. Dunia keusahawanan yang diceburinya berbeza daripada perjuangan politiknya.

Di rumahnya di Ipoh sewaktu wawancara dengan The Rocket pada 2014

Berkampung di Perak

Namun keselesaannya dalam dunia korporat tidak lama apabila beliau menerima panggilan telefon daripada Lim Kit Siang sebelum PRU 1982. Tanpa bercakap panjang lebar, Kit Siang memberitahunya bahawa “cuti” beliau telah tamat dan memintanya terjun ke medan PRU sekali lagi. Kerana panggilan telefon inilah, Lau membuat keputusan untuk berhijrah ke Perak untuk bertanding di kerusi Parlimen Menglembu.

“Demi perjuangan ini, saya telah menjual semua saham syarikat bagi persiapan PRU. Saya hanya tinggal satu kereta. Semua wang hasil jualan syer saya telah dihabiskan dalam PRU dan PRK seterusnya.

“Saya rasa saya dipilih sebagai calon Menglembu kerana sebagai bukan anak tempatan, saya tidak terlibat dalam sebarang konflik dalaman dengan akar umbi negeri tersebut.”

Kerusi parlimen Menglembu merupakan kubu kuat DAP selama ini. Undi majoriti DAP pada 1978 adalah 12,770 undi. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi DAP.

Apa yang berlaku ialah PRU 1982 menyaksikan persaingan di antara DAP dan pertubuhan pendidikan bahasa Cina, Dong Jiao Zong, yang berpihak kepada BN. Bukan sahaja Lau kalah di kerusi yang ditandinginya, malah DAP Perak kalah di ketiga-tiga kerusi Parlimen Perak yang dimenangi dahulu.

Selepas selesai PRU 1982, beliau diamanahkan untuk menetap di Perak bagi mengembangkan organisasi akar umbi. Lantaran peletakan jawatan oleh bekas pengerusi DAP Perak, Lim Cho Hock sebagai Adun Kepayang lima bulan selepas PRU 1982, satu PRK perlu didakan di kawasan itu.

Menang kali pertama, mangsa politik zalim

Berceramah sewaktu kempen PRU 2013 untuk calon DAP di Raub, Pahang

Buat kali pertama, Lau menang. Kemenangan PRK tersebut bukan sahaja membolehkan DAP mempertahankan kerusi tersebut, malah ia menghidupkan semula semangat perjuangan parti.

Keputusan PRU 1986 pula mencatatkan rekod cemerlang untuk DAP apabila ia memenangi 24 kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN di seluruh negara. Lau Dak Kee yang bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Pasir Pinji serta Adun Dermawan.

Namun, setahun kemudian, negara dilanda krisis kepimpinan. Dengan alasan sentimen perkauman terlalu kuat, kerajaan BN telah melancarkan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987. Banyak pemimpin pembangkang serta aktivis sosial ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Antaranya termasuklah Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, P. Patto, Sim Mow Yu, Khalid Samad, Dr Nasir Hashim, Irene Fernandez, Lim Fong Seng, dan Mahfuz Omar. Malah, Lau menjadi mangsa ISA.

“Sebelum saya ditahan, pihak polis telah membenarkan saya untuk berjumpa dengan isteri dan anak. Saya memberitahu isteri bahawa saya telah ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri dan tidak mengetahui tarikh pembebasan. Isteri saya menjawab saya dengan tenang sekali bahawa beliau telah menjangkakan ketibaan hari seperti ini.

“Saya amat khuatir tentang kehidupan isteri dan tiga anak tanpa saya. Isteri saya cuba menenangkan hati saya dengan mengatakan bahawa dia akan mencari rezeki dengan menjahit baju dan menyuruh saya supaya tidak risau akan mereka.”

Selepas 444 hari ditahan, beliau dibebaskan dan melangkah keluar sebagai ahli parti pembangkang yang tidak menyerah kalah kepada rejim BN. Selain orang awam yang menyambut pembebasannya, isteri dan anaknya yang telah lama menderita turut menantinya di luar pusat tahanan.

Kata beliau, penglibatannya dalam politik adalah demi muafakat rakyat. Beliau menganggap kehidupannya di dalam pusat tahanan turut merupakan salah satu aspek perjuangan.

Khidmat selepas bersara

Kali terakhir beliau bertanding ialah pada PRU 1990 apabila berjaya memenangi kerusi Parlimen Ipoh. Selepas itu, beliau tidak lagi menyertai PRU untuk memberi ruang kepada muka baru dalam DAP. Namun pusat khidmatnya di bandar Ipoh tetap beroperasi seperti biasa dan dikendalikannya sepenuh masa. Hanya pada 1999, barulah beliau menyerahkan segala urusan pusat khidmat kepada pembantunya.

Selepas berundur daripada barisan hadapan, beliau telah menubuhkan kelab veteran DAP bersama dengan bekas para pemimpin lain. Menurut beliau, kelab veteran ini merupakan salah satu cara baginya untuk menyumbang kepada parti demi perjuangan Malaysia milik rakyat Malaysia.

Walaupun sudah tua, beliau terus membantu DAP apabila diperlukan. Sepanjang kempen PRU 2013, mendiang telah meluangkan masa untuk berceramah beberapa tempat seperti di Raub dan Cameron Highlands di Pahang, Gelang Patah di Johor, dan Kuala Kubu Bharu di Selangor.

Sesungguhnya semangat dan prinsip politik Lau merupakan teladan kepada generasi muda parti. Penglibatannya dalam kelab veteran merupakan sumbangan terakhir serta terbaik bagi parti dalam perjuangan politiknya selama ini. Itulah makna kesetiaan dalam perjuangan. – Roketkini.com

*Tulisan ini dipetik dan diringkaskan daripada wawancara dalam buku TOKOH: Jatuh Bangun Veteran DAP (2016) yang disunting oleh Wan Hamidi Hamid. Wawancara dengan saudara Lau dalam buku ini dijayakan oleh Dr Hew Kuan Yau yang dibantu oleh Chiong Yoke Kong.