Berita

DAPSY Melaka ‘betulkan’ papan tanda ucapan Deepavali tanpa teks Tamil

MELAKA, 17 OKT: Ekoran kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang dilihat memingirkan bahasa Tamil dalam papan iklan sambutan Deepavali, sekumpulan pemimpin DAP bertindak ‘membetulkan’ kesalahan tersebut, semalam.

Pengerusi DAP Melaka, Kok Kiew Tey dan Ketua Sosialis Muda DAP Melaka, G. Samynathan bertindak menampal pelekat dengan ucapan perayaan tersebut dalam bahasa Tamil selepas menyedari papan iklan terbabit tidak disertakan dengan bahasa ibunda kaum India itu.

Malah menurut Samynathan, teguran telah dibuat terhadap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan MPHTJ pada tahun lepas, namun kesilapan yang sama tetap berulang pada sambutan perayaan itu tahun ini.

“Ketiadaan penggunaan bahasa Tamil dalam papan iklan telah ditegur pada tahun lepas, namun tiada tindakan proaktif daripada pihak majlis.

“Ketiadaan bahasa Tamil dalam iklan sambutan Deepavali amat mengguris hati kaum India di Melaka. Saya minta pihak majlis berhati-hati dan saling menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Deepavali yang juga dikenali sebagai pesta cahaya akan diraikan masyarakat India di negara ini pada hari esok. – Roketkini.