Berita

Penduduk 8 kampung tanggung risiko akibat jambatan runtuh

PENSIANGAN, 17 OKT: Penduduk di lapan buah kampung di Mukim Dalit, dekat sini terpaksa berdepan dengan kesukaran apabila jambatan yang menjadi laluan utama mereka runtuh selepas hujan lebat baru-baru ini.

Lapan kampung yang terjejas ialah Kg Pangaraan, Kg Pohon Batu, Kg Binanun, Kg Nakawangan, Kg Lumiri, Kg Mamagun, Kg Likowon dan Kg Bonor.

Apa yang mendukacitakan, jambatan berkenaan hanyalah jambatan kayu balak yang digunakan oleh lori balak sebelum ini tanpa sebarang binaan sempurna.

Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang ketika meninjau jambatan runtuh itu berkata, usaha untuk membaiki jambatan tersebut perlu dilakukan segera memandangkan ianya menjadi laluan utuma penduduk.

Beliau menlahirkan rasa kesal dengan kerajaan yang sehingga kini gagal menyediakan jambatan yang mengikut spesifikasi Kementerian Kerja Raya yang sepatutnya telah dibina beberapa tahun lalu demi kepentingan rakyat.

Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook, Datuk Elleron Angin telah pun membuat tinjauan di lokasi berkenaan namun sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan positif.

Ekoran itu, penduduk dari lapan kampung berkenaan terpaksa menggunakan jambatan gantung atau menyusuri tebing di sebelah jambatan runtuh tersebut untuk sebarang urusan luar. Keadaan ini sekaligus merbahaya keselamatan dan nyawa mereka.

Mereka yang kebanyakannya menggunakan motosikal sebagai pengangkutan pula terpaksa melalui  melalui jalan tanah merah yang berselut tebal terutamanya selepas hujan.

Bagi Adrian, rancangan kerajaan untuk membina Lapangan Terbang dan Stadium yang gah di Pensiangan seolah-olah tidak bermakna sekiranya keperluan asas untuk rakyat di kawasan pedalaman itu masih lagi sama seperti zaman pemerintahan British.

“Jalan masih tanah merah, jambatan kayu malah tiada bekalan air bersih.

“Jika bajet untuk memperkasakan TN50 digunakan untuk pembangunan infastruktur menambah keperluan asas penduduk luarbandar khususnya di kawasan Pedalaman Sabah, pasti mampu memberi manfaat kepada rakyat yang mana kini sedang dibebani dengan kos keperluan hidup yang tinggi dan di tambah pula dengan cukai GST,” kata Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah.

Keadaan ini katanya jelas menunjukkan kerajaan negeri gagal dalam membantu dan membangunkan kemudahan infrastruktur, khususnya di kawasan pendalaman.

Beliau berharap, pemimpin sedia ada kini, ‘bangun’ dan sedar tentang keperitan dan kesengsaraan yang ditangung rakyat selama ini. – Roketkini.com