Berita

Ahli Parlimen DAP sedia tarik balik laporan polis terhadap Zamihan

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng bersedia untuk menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap Zamihan Mat Zin jika pendakwah kontroversi itu mengakui bahawa ceramah yang disampaikannya baru-baru ini bersifat rasis dan biadab.

“Jika Zamihan benar-benar rasa bersalah tentang ceramah yang bersifat rasis dan biadab terhadap rakyat Malaysia sehingga beliau disumbat ke lokap selama dua hari, saya juga bersedia untuk menarik balik laporan polis terhadapnya yang saya buat minggu lalu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zamihan dalam satu klip video yang tular sejak beberapa minggu lepas dirakamkan mengkritik larangan Sultan Johor terhadap operasi dobi untuk orang Islam dan menuduh masyarakat Cina sebagai pengotor.

Ekoran itu, dia yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan.

Zamihan dilaporkan memohon maaf kepada Sultan Johor dan Selangor dan memohon mengadap baginda bagi menerangkan isi kandungan ceramahnya itu.

Mengulas lanjut, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, Zamihan perlu memohon maaf bukan sahaja kepada Sultan tetapi kepada masyarakat Cina dan pihak yang dihinanya.

“Adakah beliau semata-mata memohon maaf (kepada Sultan) kerana takut dipenjarakan?

“Adakah Zamihan benar-benar menyesal? Jika ya, Zamihan juga mesti memohon maaf kepada peguam, Siti Kassim kerana melabelnya murtad; kepada komuniti Kristian kerana memanggil mereka kafir, dan juga kepada masyarakat Cina kerana menuduh mereka pengotor,” ujarnya.

Jika Zamihan enggan memohon maaf kepada mereka, menurut Lip Eng, ia membuktikan bahawa dia hanyalah “seorang pengecut dan pendusta yang hanya terkinja-kinja mahu memohon maaf kepada Raja-Raja kerana takut diambil tindakan”.

“Sebaliknya, jika Zamihan berani, saya boleh mengaturkan dialog bersama mubaligh-mubaligh Krisitan, pemimpin komuniti Cina yang didakwanya pengotor, serta Siti Kassim sendiri (dengan kebenarannya) untuk mencapai suatu persefahaman, rasa hormat dan toleransi sesama agama dan budaya yang begitu berbilang di Malaysia,” katanya. – Roketkini.com