Berita

Belanjawan HARAPAN bakal jawab kritikan ‘pembangkang tak ada rancangan’

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membentangkan Belanjawan Alternatif 2018 mereka esok, dua hari lebih awal daripada pembentangan belanjawan yang akan dibuat kerajaan pada Jumaat nanti.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, belanjawan berkenaan akan mengemukakan penyelesaian bagi masalah kos sara hidup yang dihadapi golongan berpendapatan rendah berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April 2015.

“Ia merupakan satu belanjawan yang progresif bagi menangani kos sara hidup yang tinggi dihadapi golongan B40.

“Dalam belanjawan itu kami (HARAPAN) akan menjawab bagaimana caranya untuk kami membantu golongan sasaran dan terpinggir. Semuanya akan didedahkan esok,” katanya dalam wawancara bersama Roketkini, hari ini.

Belanjawan berkenaan, kata Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP itu, sedikit sebanyak akan menjawab kritikan pihak tertentu yang mendakwa pembangkang kononnya tidak mempunyai rancangan yang khusus dan terperinci dalam menangani pelbagai isu negara.

Selain isu kos sara hidup dan GST, HARAPAN dijangka turut mengumumkan pelbagai inisiatif dan cadangan menarik yang meliputi antaranya sektor pendidikan, pengangkutan dan kesihatan. – Roketkini.com