Berita

Tanah runtuh: Kekeliruan kelulusan projek terjawab

GEORGE TOWN, 24 OKT: Kekeliruan mengenai kelulusan projek perumahan swasta Taman Sri Bunga yang mengalami kemalangan tanah runtuh 21 Oktober lalu terjawab.

Kelulusan dibuat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil kira semua ulasan jabatan teknikal berkaitan secara menyeluruh di mana Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang berada di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 30 November 2014 memberikan ulasan tiada bantahan kepada projek berkenaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menjelaskan, selain itu, MBPP juga mengambil kira pandangan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“JMG adalah jabatan yang mempunyai bidang kuasa dalam hal-hal geologi, pendasaran tapak, pemadatan tanah dan kerja-kerja peletupan.

“Kepakaran ini bukan di bawah JAS, tetapi di bawah JMG dan dalam kes ini JMG (pada 30 Disember 2014) memberi ulasan tiada halangan kerana dia (JMG) ada kepakaran dalam isu-isu ini,” jelasnya dalam sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar sebentar tadi lapor Buletin Mutiara.

Kon Yeow berkata, JAS bukanlah pihak berwajib yang diberi kuasa membuat keputusan mengenai permohonan kebenaran merancang kerana ia dibawah kuasa MBPP.

“JAS cuma bimbang mengenai jarak tidak cukup, mungkin ganggu bunyi kerana terlalu dekat dekat kawasan perumahan, debu-debu dan sebagainya.

“JAS adalah salah satu daripada jabatan luaran yang telah memberi ulasan yang tidak menyokong kerana tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan di bawah ‘Guidelines Form Siting and Zoning of Industry and Residential Areas’,” katanya.

Menurutnya, kuasa yang diberikan kepada MBPP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal pembangunan serta memberi kebenaran pembangunan berwajib adalah berdasarkan Seksyen 19 Akta Perancang Bandar dan Desa 1976.

Fakta:

  1. Permohonan projek tersebut mematuhi Pelan Dasar dan Perancang Pemajuan MPPP 1976 dan di atas tanah yang bawah daripada 76m (250 kaki) dan dikategorikan sebagai Kategori II dengan cerun purata di bawah 20°.
  2. Ia bukanlah projek tanah bukit yang tinggi sepertimana didakwa oleh Penang Forum dan parti-parti pembangkang.
    Projek Tetuan Taman Sri Bunga berada pada jarak 714.53m dari pusat letupan kuari, berbanding dua projek lain yang menurut ulasan JAS terdahulu adalah tiada halangan.
  3. Dua projek pembangunan itu adalah projek perumahan Tetuan Prestasi Raya pada jarak 421.57m dari pusat letupan kuari, dan Kolej Tungku Abdul Rahman sejarak 589.44 m.
  4. Dari ‘crushing point’, jarak tapak projek Taman Sri Bunga adalah 181.95m, berbanding tapak projek Prestasi Raya (194.37m) dan tapak Kolej Tunku Abdul Rahman (258.45m).
  5. Projek tersebut berada di tanah landai, ketinggian di bawah 250 kaki atau 76m dari paras laut, mengikut Garis Panduan Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi.