Berita

Belanjawan Alternatif 2018 HARAPAN – berhemah, mesra rakyat

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Belanjawan Alternatif 2018 yang dibentangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini memberi fokus kepada pengurangan bebanan rakyat melalui penjimatan perbelanjaan kerajaan daripada pembaziran, rasuah serta penghapusan cukai GST.

Bertemakan “Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan”, cadangan belanjawan ini menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah bandar dan desa, golongan petani, nelayan, masyarakat FELDA, golongan wanita dan kumpulan masyarakat minoriti.

Belanjawan Alternatif 2018 ini turut menyatakan komitmen memnaikkan royalti bahan api sebanyak 20 peratus kepada negeri Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak

Majlis pembentangan dilancarkan oleh Presiden HARAPAN, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama seluruh kepimpinan HARAPAN di Bilik Taklimat, Parlimen sebentar tadi.

Berdasarkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2018 berjumlah RM1,426 bilion, belanjawan alternatif ini mencatatkan nilai defisit rendah sebanyak RM29.08 bilion jauh lebih baik berbanding UMNO-BN yang berjumlah RM41.02 bilion.

Ia turut menyatakan nisbah sebanyak 77:23 perbelanjaan mengurus dan pembangunan iaitu RM200.16 bilion dan RM58.35 berbanding UMNO-BN sebanyak RM285.50 bilion dengan nisbah perbelanjaan mengurus dan pembangunan 80:20.

Berikut adalah 10 intipati Belanjawan Alternatif 2018 HARAPAN:

  1. Cukai barangan dan perkhidmaran (GST) dimansuhkan yang menjurus kepada penurunan dalam kos sara hidup ke atas semua rakyat Malaysia di segenap lapisan.
  2. Penjimatan sebanyak RM20 bilion hasil daripada usaha dan dasar-dasar mengelakkan pembaziran dan membanteras rasuah.
  3. Pelaksanaan gaji minima RM1,500 di seluruh negara.
  4. Kemudahan kepada penghutang PTPTN yang masih belum mendapat pekerjaan dengan gaji di bawah RM4,000 sebulan.
  5. Pelaksanaan skim perumahan – sewa milik (rent to own) – yang akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.
  6. Suntikan dana pembangunan RM75 bilion buat penduduk Sabah dan Sarawak.
  7. Lima pembaharuan untuk FELDA selain jaminan tiada lagi campur tangan politik dalam pengurusan organisasi tersebut.
  8. Peruntukan untuk perkampungan baru masyarakat Cina dinaikkan kepada RM60 juta daripada RM20 juta oleh Barisan Nasional (BN) pada masa ini.
  9. Penyediaan dana RM2 bilion kepada masyarakat India dengan faedah serendah empat peratus dan RM200 juta bagi menggiatkan NGO kebajikan sosial kaum itu.
  10. Kaum pekerja wanita akan menerima cuti bersalin 120 hari dengan paras gaji yang setara dengan kakitangan lelaki. – Roketkini.com