Berita

Kerajaan perlu tegas kuat kuasa undang-undang maritim – Jimmy Wong

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin mahu supaya penubuhan Pasukan Simpanan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSSMM) di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mencapai matlamat memperkukuh keselamatan perairan negara ini.

Menurutnya, pengukuhan pasukan maritim dan keselamatan sempadan perairan penting bagi mengelakkan sebarang insiden pencerobohan berulang sekaligus mengganggu-gugat kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.

Persoalannya, “Adakah penubuhan pasukan sukarelawan ini hanya akan jadi satu lagi projek kroni buat projek uniform dan lain-lain untuk cari makan?” katanya ketika membahaskan pindaan usul Rang Undang-Undang APMM di Parlimen petang tadi bagi memasukkan peruntukan pengambilan PSSMM.

“Kita sudah lihat banyak pasukan keselamatan perairan ditubuhkan contohnya, ESSCOM. Namun, apa yang berlaku lebih 1,000 kapal nelayan asing telah menceroboh perairan Malaysia dan mencuri hasil laut kita, penculikan masih terus berlaku, penyeludupan masih ada; PATI pun masih ramai masuk ke Sabah,” katanya.

“Inilah yang jadi persoalan. Isu utamanya sekarang ialah rasuah. Rasuah menjadi punca sebenar masalah negara. Pasukan keselamatan ramai, tapi apabila rasuah berlaku, adakah efektif?” soalnya.

PSSMM dilancarkan buat kali pertama pada Januari lalu di Kuala Perlis dengan keanggotaan seramai 125 anggota termasuk enam pegawai.

Penasihat DAP Sabah itu turut menyentuh mengenai pencerobohan nelayan asing yang semakin kerap dilaporkan di Sabah.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar The Borneo Post pada 23 Oktober lalu memetik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bahawa “Kapal nelayan asing yang didapati bersalah akan dibakar dan ditenggelamkan.”

Namun, persoalan lain yang timbul kata Jimmy ialah sejauh mana kerajaan benar-benar serius menjalankan penguatkuasaan undang-undang.

“Saya amat setuju kerajaan bertindak tegas seperti mana yang menteri kata, bahawa bot-bot haram nelayan asing yang langgar undang undang dengan masuk ke perairan negara akan dibakar dan ditenggelamkan.

Berdasarkan statistik bagi tahun 2017, Jabatan Maritim telah menahan sebanyak 133 bot pukat tunda yang melanggar peraturan perairan negara ini.

Daripada jumlah itu, 108 adalah bot daripada Vietnam dan 25 bot Indonesia manakala jumlah keseluruhan yang pernah ditahan ialah lebih 1,000 bot asing.

Kesalahan di siasat di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 yang membawa denda maksimum sebanyak RM1,000,000 bagi kapten, manakala, krew pula boleh didenda maksimum sebanyak RM100,000.

Bagi kesalahan yang dilakukan nelayan tempatan, mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500 bagi kesalahan pertama; kompaun RM1,000 kali kedua; dan RM1,500 kali ketiga.

“Soalan saya, daripada jumlah denda itu, berapakah jumlah denda yang telah kerajaan dapat? Dan berapa ramai sudah di haramkan? Berapa banyak bot sudah dibakar dan ditenggelamkan? Berapa ramai lesen yang dibatalkan atau ditarik balik?” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Jimmy turut mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya ditubuhkan sebagai badan pemantau kepada pasukan berkenaan serta memastikan pasukan itu disertai dari pelbagai latar belakang kaum.

“Saya menyeru, bagi Sabah, rekrutlah orang-orang tempatan yang terdiri dari pelbagai kaum orang asal Sabah termasuk pegawai-pegawai atasan. Ia mestilah berbilang kaum, jangan bias, janganlah diskriminasi.

“Kita ada ramai mereka yang have good faith untuk berkhidmat demi tanah air kita,” katanya. – Roketkini.com