Berita

BN Selangor lancar bilik gerakan Parlimen belum wujud

PETALING JAYA, 26 OKT: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar melancarkan “Bilik Gerakan BN Parlimen P107 Sungai Buloh” menimbulkan persoalan, kata Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0).

Ini kerana, kata NGO itu, kawasan P107 Sungai Buloh masih belum wujud dan masih di peringkat cadangan kawasan Parlimen baru oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses persempadanan semula yang sedang dijalankan.

Pelancaran “Bilik Gerakan BN Parlimen P107 Sungai Buloh” oleh Noh Omar tak hormat undang-undang

Tindakan itu juga, kata BERSIH, menunjukkan keangkuhan dan sikap tidak hormat Noh Omar terhadap proses persempadanan semula di Selangor yang kini sedang dicabar di mahkamah.

“Tindakan ini amat dikesali, dan pengundi-pengundi hendaklah menolak persempadanan tidak sekata yang kelihatannya memberi kelebihan kepada sesetengah parti politik.

“Jika tidak diawasi, persempadanan semula yang tidak adil akan menyebabkan sistem pilihan raya tidak bersih dan adil,” kata BERSIH 2.0 dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, BERSIH2.0 menuntut SPR agar meminta Noh Omar menarik balik pelancaran bilik gerakan tersebut; mengingatkan semua parti agar menghormati proses persempadanan semula dan menyiasat sama ada pelancaran yang sama berlaku di kawasan Parlimen baru yang lain serta mengambil tindakan menghentikannya.

“Tuntutan ini juga adalah amaran kepada semua parti politik dan pegawai, bahawa mereka tidak harus mengambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan persekutuan,” ujar mereka. – Roketkini.com