Berita

DAP mahu gaji anggota bomba dinaikkan selaras pasukan polis

GEORGE TOWN, 26 OKT: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sekali lagi mengulangi cadangan agar gaji anggota bomba dinaikkan selaras dengan pasukan polis.

Ini, katanya, mengambil kira tugas dan tanggungjawab pasukan bomba yang terdedah kepada situasi yang mencabar dan berisiko tinggi.

Beliau membuat saranan tersebut selepas melihat kesungguhan dan dedikasi pasukan bomba dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Lembah Permai, Tanjung Bungah.

“Usaha mereka yang berterusan selama 48 jam berturut-turut telah memungkinkan kesemua mayat mangsa dikeluarkan walaupun tertimbus dalam runtuhan yang begitu besar,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan, hari ini.

“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan daripada lima buah balai bomba, iaitu Bagan Jermal, Prai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Kepala Batas atas komitmen mereka dalam menghadapi situasi mencabar ini.”

Sekurang-kurangnya 200 anggota bomba berkampung selama 24 jam di kawasan kejadian sejak 21 Oktober lepas. 11 mayat berjaya dikeluarkan daripada lokasi nahas tersebut. – Roketkini.com