Berita

Bagaimana dengan kuari berhampiran kawasan perumahan di Sarawak pula?

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi didakwa pilih kasih apabila menuduh projek perumahan di Tanjung Bungah sebagai ‘berbahaya’ meski pun mematuhi garis panduan jarak kementerian iaitu tidak kurang 600 meter dari kawasan kuari dengan jarak 715 meter.

Sikap ‘double standard’ menteri itu dipersoal apabila berdiam diri terhadap dua projek kuari di Sarawak yang terletak kurang dari 250 dan 350 meter dengan kawasan perumahan di Kuching kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen.

Projek kuari tersebut merupakan Kuari 7th Mile dan Kuari Batu Stigang yang diusahakan CMS Quarry Sdn Bhd anak syarikat CMS Recources Sdn Bhd.

“Kedua-dua kuari terletak bersebelahan kawasan perumahan dan kawasan letupan kuari hanya terletak sekitar 350 meter dari kawasan perumahan terutamanya kuari 7th Mile yang kurang dari 250 meter dari perumahan awam,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, sekiranya Wan Junaidi berpegang pada kenyataannya mengenai “keselamatan penduduk” yang tinggal berhampiran kuari, beliau perlu mengambil tindakan segera menghentikan operasi kuari berkenaan.

“Wan Junaidi mendakwa jarak 716 meter kawasan kuari dengan perumahan di Pulau Pinang sebagai tidak selamat tetapi membiarkan kawasan perumahan berdekatan kuari aktif dengan jarak 350 meter di Sarawak.

“Adakah nyawa rakyat Sarawak terlalu murah dan tak berbaloi mendapat perlindungan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar?

“Adakah menteri itu bermain wayang politik dengan turut serta mengambil bahagian dalam permainan memomokkan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang dalam kenyataannya?” soal Chong.

Tindak-tanduk Wan Junaidi mempersoalkan pertimbangan pihak yang meluluskan projek di Tanjung Bungah meskipun berada dalam zon selamat akhirnya terpalit pada kemneteriannya semula.

Jelas Chong, pada tahun 2008, ratusan penduduk di Taman Mei Lee telah menghantar petisyen kepada kerajaan supaya menghentikan kerja-kerja letupan yang telah menyebabkan beberapa situasi  batu beterbangan sehingga merosakkan rumah mereka.

“Namun, tuntutan itu tidak didengari,” katanya.

Kata Chong, sekiranya menteri berkenaan tidak berani mengambil tindakan terhadap kuari aktif berkenaan, kenyataan Wan Junaidi mengenai keselamatan penduduk itu jelas menunjukkan sikap hipokrasi terbesar.

“Demi keselamatan penduduk di Sarawak, kami menggesa Wan Junaidi segera mengeluarkan arahan ‘henti kerja’ terhadap dua kuari tersebut dan berhentilah bermain wayang politik,” tegasnya lagi.

Turut sama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan; Ahli Parlimen Bandar Sibu, Oscar Ling dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau. – Roketkini.com