MELAKA, 27 OKT: Sudah dua tahun kerajaan mengabaikan nasihat Majlis Raja-Raja supaya skandal melibatkan syarikat bermasalah milik negara, 1MDB disiasat dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Kerajaan justeru digesa untuk patuh kepada nasihat terbabit dan memberi penjelasan tentang skandal tersebut dalam pembentangan belanjawan di Parlimen, petang nanti.
Gesaan tersebut dibuat Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam ucapannya di majlis makan malam DAP di sini, semalam.
“Jangan kita lupa, pada 6 Oktober 2015, Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan bersama menyeru kerajaan untuk melengkapkan siasatan ke atas 1MDB dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.
“Majlis Raja-Raja bimbang jika isu tersebut tidak dikendalikan dengan baik dan dibiarkan melarat, ia akan menjejaskan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat,” ujar Kit Siang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini menulis di blognya tentang harapan ekonomi beliau untuk rakyat Malaysia.
Blog sepanjang 81 perenggang itu, ulas Kit Siang; cuba menutup skandal pengubahan wang haram berbilion dolar melibatkan 1MDB dengan menyifatkan ia sebagai satu masalah kecil yang telah dibetulkan setelah pengurusan syarikat tersebut dirombak.
“Ini bukan respon yang boleh diterima terhadap kecaman antarabangsa yang menyifatkan negara sebagai sebuah kleptokrasi global,” tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu.
Skandal melibatkan 1MDB kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), selain negara-negara lain termasuk Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Abu Dhabi.
Tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika untuk merampas aset-aset terkait 1MDB bernilai US$1.7 bilion kini disusuli siasatan jenayah oleh pihak berkuasa negara itu.
“Saya menyeru Najib untuk memulakan pembelaannya terhadap skandal 1MDB yang sudah sangat terlewat, dalam ucapan Belanjawan 2018.
“Perbahasan Belanjawan 2018 perlu dijadikan perbahasan penuh mengenai skandal 1MDB dan keadaan Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi global,” gesa Kit Siang. – Roketkini.com