Berita

HARAPAN umum 5 teras banteras Najis Rasuah

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengumumkan lima teras reformasi membanteras Najis Rasuah yang akan dilaksanakan selepas membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Menurut Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, lima teras ini bertujuan untuk mengekang segala bentuk rasuah dalam kerajaan.

“Kita akan jadi kerajaan tahun depan, jadi ini bertujuan untuk kekang kita dari rasuah,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen sebentar tadi.

Antara langkah yang diberi tumpuan HARAPAN dalam lima teras ini ialah dengan meletakkan Suruhan Jaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen, melaksanakan reformasi sumbangan politik, reformasi ketelusan bermaklumat, pemberian tender terbuka dan menerapkan budaya anti rasuah.

Berikut adalah lima teras reformasi membanteras rasuah:

1)   Reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

  • Menjadikan SPRM badan bebas yang melapor dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM dalam kes-kes rasuah;
  • Menubuh Suruhanjaya Perkhidmatan Pegawai Pencegah Rasuah untuk membolehkan SPRM membuat pilihan pegawai-pegawai dalam perkhidmatannya;
  • Memastikan peruntukan tahunan SPRM mencukupi dan diberi autonomi menguruskan kewangan mereka;
  • Menjamin hak pelantikan tetap bagi Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memastikan beliau akan melaksanakan tugas dengan tegas tanpa rasa takut;
  • Pelantikan Ketua Pesuruhjaya akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat jawatankuasa Parlimen.

2)   Reformsi sumbangan politik

  • Sumbangan politik hanya kepada parti-parti politik dan bukan kepada ahli politik atau individu. Setiap penyumbang terhad kepada RM200,000 setahun.
  • Sumbangan melebihi RM10,000 mesti direkodkan.
  • Sumbangan politik tidak boleh diberi oleh GLC, dan syarikat-syarikat yang mempunyai kontrak dengan kerajaan Persekutuan atau Negeri.
  • Parti-parti politik akan diberikan peruntukan terus daripada kerajaan untuk membanteras pengaruh keterlaluan.
  • Setiap parti politik wajib membuat laporan sumbangan politik terus kepada pejabat ketua audit negara kemudiannya akan melaporkan kepada parlimen.
  • Aset yang dimiliki oleh parti-parti perlu didedah secara umum, telus dan diaudit.

3)      Reformasi meningkatkan ketelusan

  • Meminda akta seperti Akta Perlindungan Saksi 2009 atau Akta Pemberi Maklumat 2010 dan akta rahsia rasmi 1972 demi meningkatkan ketelusan;
  • Menggubal akta kebebasan maklumat untuk meingkatkan ketelusan kerajaans eperti yang dlaksanakan di negeri Pakatan Harapan; Selangor dan Pulau Pinang;
  • Semua wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan yang berpangkat Jusa C dan ke atas dan pengurusan tertinggi GLC dan ke atas diwajibkan mengishtiharkan harta kepada Parlimen.

4)      Mengamalkan tender terbuka

  • Memperluas pengunaan sistem e-Perolehan dan e-Bidaan dalam atau untuk semua kontrak kontrak kerajaan bagi semua kementerian dan jabatan kerajaan;
  • Semua tender terbuka dilakukan secara atas talian dan boleh diakses umum dan mendedahkan semua perjanjian kerjasama awam-swasta (public partnership);
  • Proses penganugerahan projek PPP harus mematuhi garis panduan pematuhan penganugerahan garis panduan kerajaan dan bukan mengikut kehendak peribadi menteri;
  • Menteri juga perlu memberi rasonal penganugerahan kontrak tersebut.

5)      Memperkenalkan budaya anti-rasuah di kalangan masyarakat

  • Menggunapakai ISO 37001 sistem pengurusan anti-rasuah dalam urus-tadbir badan-badan kerajaan.
  • Mengkaji semula struktur ganjaran bagi penjawat awam untuk membantu untuk menghindari atau mengurangkan kecenderungan terhadap aktiviti rasuah dan meningkatkan hukuman kesalahan rasuah ke atas pemberi dan penerima. – Roketkini.com