Berita

Lebih 160 perniagaan runcit tutup kedai, Sandakan jadi ‘bandar hantu’

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Sebanyak 162 premis perniagaan runcit ditutup di Sandakan dipercayai ekoran faktor ekonomi, kekerapan gangguan bekalan elektrik, isu Pendatang Tanpa Izin (PATI) dan isu keselamatan kata Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt.

“Di kawasan saya, ekonomi semakin merosot, kedai tutup, apabila saya buat kajian pada Mac tahun ini, saya mendapati bahawa sebanyak 162 kedai retail telah tutup di Bandar Sandakan, kini mungkin lebih banyak sehingga 200 unit.

“Tiga bangunan pejabat iaitu Wisma Sandakan, Wisma Lai Biang Kee dan Wisma Sabah kini sudah langsung kosong, tiada orang dan dibiarkan sebagai ‘bangunan hantu’ sebab ekonomi terlalu teruk, tiada orang mahu sewa,” katanya dalam perbahasan Bajet 2018 di Parlimen baru-baru ini.

Menurutnya, jika Sandakan yang suatu ketika dahulu terkenal dengan julukan ‘little Hong Kong’ kerana perkembangan pesat ekonomi dan kemasukan pedagang dari wilayah itu, kini, Sandakan dikenali sebagai ‘little Philippines’ kerana dibanjiri PATI seolah-olah tidak lagi terkawal.

Situasi tersebut kata Pengerusi DAP Sabah itu menyebabkan ramai golongan muda berhijrah ke bandar-bandar besar lain kerana peluang peluang pekerjaan dan kehidupan yang semakin tertutup.

“Di manakah janji Barisan Nasional yang mendakwa laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan menyelesaikan masalah ini sebelum PRU13, apa terjadi sekarang? Kenapa langsung tiada tindakan? Bukankah satu lagi bukti bahawa BN janji tidak ditepati!” ujar Stephen.

Kelembapan ekonomi Sandakan katanya turut dapat dilihat apabila banyak penerbangan ke bandar itu dibatalkan, “Ia menunjukkan betapa merosot ekonominya di Sandakan,” kata beliau.

Selain itu, kemunduran ekonomi Sandakan saat ini juga turut dipengaruhi oleh gangguan bekalan elektrik dan bekalan air yang serius.

“Kerajaan berjanji akan membina satu loji janakuasa gas 380MW di Sandakan. Tapi sehingga hari tiada berita, di samping itu pembinaan satu saluran untuk menghantar gas dari pantai barat ke pantai timur pun masih tiada apa-apa berita. Saya nak tanya apakah status terkini dengan projek ini?

“Sekarang gangguan air juga semakin serius juga. Saya mendapat maklumat bahawa kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan bekalan air sudah dihentikan,” katanya.

Selain daripada masalah air dan elektrik, Sandakan juga berdepan dengan sistem jaringan jalan raya yang gagal mendapat perhatian dan penambahbaikan.

“Jalan kita berlubang-lubang di seluruh Sabah sehingga menyebabkan tragedi yang amat menyedihkan. Pada 24hb October 2017, amat sedih sekali, sebuah kereta Avanza yang membawa sembilan pelajar tingkatan 6 sekolah SMK Pitas telah terbabas akibat terlanggar lubang di jalan menyebabkan empat pelajar maut dan selebihnya cedera,” katanya.

Stephen dalam masa yang sama membangkitkan isu keselamatan yang dilihat turut menjadi punca kepada kelembapan ekonomi.

Katanya, setelah kes penculikan berlaku beberapa kali di kawasan pantai timur Sabah dan pengenalan perintah berkurung, salah satu sistem ekonomi tradisi masyarakat di Sandakan iaitu sistem barter telah dihentikan.

Ia sekaligus menyebabkan ekonomi tempatan menerima kesan buruk sehingga menyebabkan kerugian berbilion ringgit.

“Saya nak minta penjelasan, adakah sistem barter merupakan punca pencerobohan atau penculikan?

“Pada saya, sistem barter itu bukan masalah sebenar. Saya berpendapat bahawa kita perlu cari satu penyelesaian menyeluruh. Bukan kerana adanya ancaman, maka aktiviti tersebut dihentikan ianya adalah tidak masuk akal,” katanya lagi. – Roketkini.com