Berita

Najib diingatkan henti politikkan isu kerakyataan masyarakat India

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa agar tidak mempolitikkan isu kerakyatan membabitkan masyarakat India.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, kerajaan perlu menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib Razak semalam yang menuduh pembangkang kononnya berbohong mengenai angka masyarakat India yang tidak mempunyai pengenalan diri atau kerakyatan Malaysia.

“Isunya bukan 300,000 (orang), isunya sekarang adalah selesaikan masalah itu dengan segera,” tegas Charles dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Katanya, sekurang-kurangnya dua pengadu hadir ke pusat khidmatnya setiap bulan bagi mengadukan masalah berkaitan permohonan kerakyatan.

“Masalah ini bukan masalah biasa. Ia masalah yang serius.

“Kerana jika seseorang itu tidak ada kerakyatan mereka tidak boleh pergi ke sekolah (kerajaan), dan apa yang lebih teruk adalah apabila mereka bekerja, mereka tidak dibayar oleh majikan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus memandang isu tersebut dengan lebih serius dan tidak memperkecilkan masalah itu. – Roketkini.com