Berita

Belanjawan P. Pinang tambah bayaran untuk warga emas dan OKU sebanyak 30 peratus

GEORGE TOWN, 2 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meningkatkan bayaran bagi Program Penghargaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak 30 peratus iaitu daripada RM100 kepada RM130 setiap seorang.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemberian bantuan tersebut bakal memanfaatkan 193,00 warga emas dan lebih 10,000 OKU masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM6 juta dan RM335,000.

“Seramai 193,823 orang warga emas telah pun menerima bayaran ini setakat 1 November 2017. Hampir RM20 juta telah diagihkan.

“Begitu juga komuniti OKU yang diberi RM100 setahun, dengan 10,478 penerima. Sehingga kini lebih RM1.1 juta telah pun dibayar,” katanya dalam ucapan pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2018 di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kerajaan Negeri telah mewujudkan skim bantuan tunai untuk kumpulan-kumpulan rentan termasuk OKU, warga emas, serta ibu tunggal sejak mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada tahun 2008.

Pemberian tunai ini adalah faedah daripada dividen anti rasuah yang diperolehi hasil pentadbiran secara Cekap, Akauntabel dan Telus yang membolehkan pelaksanaan sistem tender terbuka di negeri itu.

Selain bayaran kepada golongan rentan, Kerajaan Negeri turut memberikan bayaran secara one-off RM100 kepada Pelajar Tahun 1 & 4 dan Tingkatan 1 & 4 di bawah Skim Pelajar Emas; RM200 (one-off) melalui Program Anak Emas serta RM1,000 (one-off) kepada mahasiswa.

Bagi meringankan beban waris warga emas, ibu tunggal dan OKU dalam pengurusan jenazah, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan memberikan bantuan sebanyak RM1,000.

Program-program tersebut terus dikekalkan dalam belanjawan negeri yang bertemakan ‘Belanjawan Marhaen’. – Roketkini.com