Berita

Kad pintar “I Love Penang” mudahkan penggunaan infrastruktur sosial di P. Pinang

GEORGE TOWN, 2 NOV: Demi memaksimakan penggunaan pelbagai kemudahan dan faedah sosial di kalangan rakyat Pulau Pinang, kerajaan negeri telah mengumumkan pelancaran Kad “I Love Penang” dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan Marhaen Pulau Pinang berkata, kad tersebut merupakan kunci rakyat negeri ini menaikmati pelbagai manfaat yang disediakan.

“Pengurusan dan pengagihan semua program kebajikan kerajaan (termasuk program-program di bawah I-Sejahtera) akan diselaraskan dan diintegrasikan dengan kad “I Love Penang” Saya Sayang Pulau Pinang. Ini akan memudahkan hidup rakyat Pulau Pinang.

“Pada masa depan, kita hanya perlu membawa kad tersebut – dan kad itu mungkin mengambil bentuk maya dalam aplikasi telefon bimbit – bagi mencapai segala pembayaran, faedah and kemudahan,” kata beliau.

Kad tersebut pada masa yang sama katanya akan menjadi instrumen analisa dalam proses penggubalan dasar berasaskan bukti serta penyampaian perkhidmatan awam.

“Kita akan menggunakan prinsip ekonomi perilaku (behavioural economics) sepertimana dipopularkan oleh pemenang Anugerah Nobel, ahli ekonomi Richard Thaler, untuk menggerakkan atau “nudge” orang ramai untuk mencapai penyampaian dan prestasi yang lebih baik.

“Badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute, akan ditugaskan dengan pelaksanaan kad “I Love Penang” Saya Sayang Pulau Pinang,” katanya lagi. – Roketkini.com