Berita

P. Pinang umum bonus RM2,000 untuk penjawat awam yang berdisiplin

GEORGE TOWN, 2 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan bayaran bonus akhir tahun sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam yang mempunyai rekod disiplin yang baik.

Manakala, penjawat awam yang tidak mempunyai rekod disiplin yang baik akan diberikan bonus sebanyak RM1,000.

Ganjaran tersebut, katanya, akan dibayar kepada penjawat awam sebelum akhir tahun ini.

“Bonus ini juga adalah berkuatkuasa terhadap Pihak Berkuasa Tempatan; MBPP dan MPSP, serta perbadanan dan agensi Kerajaan Negeri,” katanya.

Selain itu, katanya, guru Sekolah Agama Rakyat (KAFA) dan sekolah persendirian Cina juga akan menerima bonus iaitu sebanyak RM300.

“Sementara mereka (guru) di sekolah tahfiz, sekolah pondok dan tadika Islam (TADIS) akan menerima sagu hati RM200 tunai.

“Mereka semua telah menerima amaun yang sama semasa bonus Hari Raya,” ujarnya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan bonus Hari Raya sebanyak 0.75 bulan. – Roketkini.com