GEORGE TOWN, 2 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentang Belanjawan 2018 dengan tema ‘Belanjawan Marhaen’ bagi menumpukan kebajikan orang kebanyakan dan keluarga bekerja.
Belanjawan tersebut dirangka demi memastikan kehidupan rakyat negeri tersebut ‘kalis masa depan’ supaya tiada yang tercicir dalam era ekonomi digital Revolusi Industri ke-4.
“KDNK per kapita di Pulau Pinang telah meningkat daripada RM33,597 pada tahun 2010 kepada RM47,322 pada tahun 2016, iaitu peningkatan 30%. KDNK per kapita Pulau Pinang adalah kedua tertinggi di negara selepas Kuala Lumpur.
“Kadar pengangguran Pulau Pinang pada tahap 2.1% pula adalah yang kedua terendah di negara bagi tahun 2016. Pada masa yang sama, jurang pendapatan (income inequality) di Pulau Pinang pula telah berkurang.
“Pekali Gini bagi negeri kita telah menurun daripada 0.419 pada tahun 2009 kepada 0.356 pada tahun 2016, iaitu sebanyak 15%” jelas Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam ucapan pembentangannya.
Antara lain, Pulau Pinang menawarkan pemberian kad pintar I Love Penang untuk memudahkan warganya mengakses kemudahan yang disediakan kerajaan negeri, selain program Penang Sihat dengan kredit tunai untuk bantuan perubatan bagi keluarga dengan pendapatan bawah RM5,000.
Kerajaan Negeri turut memberi beberapa peruntukan khas untuk pembinaan komuniti, seni budaya serta kemudahan pengangkutan awam percuma selain dorongan untuk menjadikan negeri tarikan pelancong itu sebagai sebuah negeri berbasikal.
Peruntukan-peruntukan utama lain termasuklah untuk projek tebatan banjir, bayaran tunai untuk pendidikan vokasional, ibu-ibu berkerjaya, warga emas dan OKU.
Ini diikuti pengumuman bayaran bonus untuk penjawat awam di negeri terbabit sebanyak RM2,000 kepada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang baik.
“Belanjawan Marhaen ini adalah lanjutan kepada penekanan ke atas rakyat kebanyakan.
“Dari bayaran tahunan RM600 kepada pemandu teksi dan bas sekolah kepada penarik beca yang menerima RM1,200 daripada kerajaan, penekanan Kerajaan Negeri Pakatan adalah untuk meluaskan jaringan kebajikan kepada semua orang seperti ibu tunggal; ibu yang tidak bekerja; pelajar universiti; murid sekolah rendah dan menengah; dan kini pelajar sekolah vokasional,” kata Guan Eng.
“Besar kemungkinan ini merupakan Belanjawan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam pilihan raya akan datang.
“Saya masih ingat lagi belanjawan pertama saya yang merupakan belanjawan ‘zero-based’, di mana tumpuan adalah untuk memerangi dan mencegah rasuah dan pembaziran. Pada tahun-tahun kemudiannya, kita menumpukan perhatian kepada prestasi dan hasil atau ‘outcome-based’.
“Akhirnya, apabila situasi kewangan kita sudah stabil, maka kita membawa Pulau Pinang ke tahap seterusnya sebagai negeri keusahawanan dan berkebajikan,” ujarnya.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan ‘ibu segala belanjawan’ dalam rangka mempersiapkan jentera kerajaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi. – Roketkini.com