Berita

Skandal 1MDB: Kenapa tidak minta bantuan DOJ jika kekurangan bukti?

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Tony Pua mempersoalkan mengapa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan bantuan bagi menyiasat skandal 1MDB sebelum ini jika pihaknya menghadapi masalah kekurangan bukti.

“Malah, mengapa Apandi Ali tidak meminta bantuan daripada Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) untuk lebih maklumat berhubung berpuluh bilion ringgit yang diselewengkan daripada dana 1MDB?” soal Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, hari ini.

Persoalan itu ditimbulkan beliau susulan kenyataan Apandi pada Selasa lepas yang menafikan bahawa siasatan ke atas 1MDB ditutup dan memaklumkan siasatan masih berjalan namun setakat ini masih kekurangan bukti.

November tahun lepas, kerajaan Malaysia sekali lagi menolak permintaan Switzerland untuk mendapatkan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) bagi menyiasat dakwaan rasuah membabitkan 1MDB.

DOJ pada Ogos lepas menangguhkan saman sivilnya terhadap 1MDB bagi membolehkan siasatan jenayah dilakukan ke atas dakwaan bahawa sejumlah besar dana daripada syarikat pelaburan milik negara itu telah dicuri.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP dalam pada itu turut menzahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak berkuasa negara yang dilihat memandang remeh isu membabitkan skandal 1MDB.

“Pihak berkuasa Malaysia seolah-olah menjadikan isu 1MDB suatu bahan lawak jenaka, lihat sajalah cara mereka mengendalikan skandal berkenaan.

“Siasatan dimulakan dan ditutup dan kemudiannya dibuka oleh pihak berkuasa yang lain, namun sehingga kini tidak ada kesimpulan kukuh dapat dicapai,” katanya yang juga Pengerusi DAP Selangor.

Malah, katanya lagi, Apandi Ali hanya mengesahkan bahawa siasatan masih dijalankan kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman dalam jawapannya di Parlimen pada 30 Oktober lepas memaklumkan bahawa siasatan terhadap 1MDB masih dijalankan.

Azalina pada Isnin lepas di Parlimen memaklumkan bahawa Apandi telah mengarahkan supaya siasatan lanjut berkaitan 1MDB dijalankan dan sebarang butiran mengenai kes itu tidak boleh didedahkan kerana dibimbangi akan menjejaskan siasatan polis dan mengakibatkan prejudis.

September lepas, Ketua Polis Negara yang baru, Datuk Seri Mohd Fuzi Haron memaklumkan bahawa pihak polis telah melengkapkan siasatannya terhadap skandal 1MDB dan tidak ada keperluan untuk meneruskan siasatan melainkan mendapat arahan baru daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Kabinet. – Roketkini.com