Berita

DAP Johor akan pantau pembinaan loji rawatan air Kahang

KLUANG, 3 NOV: DAP Johor berikrar akan terus memantau dan memberi tekanan kepada kerajaan negeri supaya menyiapkan projek pembinaan loji rawatan air Kahang dengan segera agar dapat dimanfaatkan secepat mungkin oleh rakyat negeri ini.

Walaupun pembinaan Empangan Kahang telah siap sejak Mei tahun ini, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dalam kenyataan hari ini berkata, ia tidak dapat digunakan ekoran penangguhan pembinaan loji tersebut.

“Rakyat sudah menunggu selama tiga tahun untuk empangan tersebut, tetapi kini mereka perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk loji rawatan air itu selesai dibina,” katanya yang juga Pengerusi DAP Johor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dalam jawapan Parlimen kepada persoalan Chin Tong berhubung pelan kontingensi bekalan air di kawasan itu berkata loji rawatan air Kahang pada asalnya dijalankan oleh anak syarikat Kementerian Kewangan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kerajaan negeri kemudiannya mengambil alih projek tersebut dan PAAB menghentikan pembiayaannya. Projek berkenaan terhenti untuk beberapa bulan semasa tempoh penyerahan tugas dari kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Pada 8 September 2017, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara meluluskan projek berkenaan dan menuntut kerajaan negeri agar menyelesaikan projek itu dalam tempoh 18 bulan.

“Pada masa yang sama, rancangan untuk mengeluarkan air dari empangan Kahang ke loji rawatan air Sembrong Timur dibatalkan, digantikan dengan peningkatan sistem loji rawatan air Sembrong Barat,” ujar Chin Tong.

Katanya lagi, kelewatan pembinaan loji rawatan air Kahang itu menunjukkan perancangan sumber air yang lemah oleh kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Loji rawatan air dan empangan harus dibina serentak supaya air dapat dibekalkan kepada rakyat.

“Mempunyai empangan tanpa loji rawatan air, sama seperti pembuatan kereta tanpa enjin,” ujarnya. – Roketkini.com