Berita

Persatuan bekas perajurit kesal khidmat UTK untuk Tun Mahathir ditarik balik

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Pertubuhan bekas perajurit, Persatuan Patriot Kebangsaan hari ini menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan menari balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK) kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyifatkan itu sebagai tidak bertanggungjawab, tidak bermaruah, amatur dan merendah-rendahkan seorang tokoh negarawan yang berjasa besar, presidennya, Brig Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji berikrar untuk melindungi dan mempertahankan Pengerusi Pakatan Harapan tersebut.

“Siapakah individu yang telah mengarahkan penarikan balik perlindungan peribadi kepada Tun Mahathir?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Brig Jeneral (B) Datuk Mohd Arshad Raji. Foto: Nazir Sufari | Malaysiakini

Arshad juga menyeru kepada mereka yang menggelar diri sebagai ‘Patriot’ supaya memberikan komitmen bersama mempertahankan Tun Mahathir.

“Tidak kira apa pun beliau hari ini, beliau pastinya tidak berhak menerima layanan yang tidak bertanggungjawab seperti itu oleh kerajaan,” katanya lagi.

Dua hari lalu, Tun Mahathir melalui akaun Twitter rasminya menulis bahawa khidmat UTK bagi menjamin keselamatannya telah ditarik balik oleh pihak kerajaan.

“Genap setahun, Kak Fauziah dan pembantu ditamatkan kontrak oleh kerajaan. Hari ini, khidmat UTK ditarik balik.

“Perjuangan tetap diteruskan,” kicaunya.

Tahun lalu, khidmat pengiring polis untuk beliau turut ditarik balik ekoran kehadirannya di acara anti-kerajaan.

Bekas Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyarankan Tun M untuk memohon pengiring polis untuk ke acara rasmi kerajaan.

Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia tahun lalu, bersama-sama mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-duanya kini di barisan hadapan pakatan pembangkang mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – Roketkini.com