Berita

DUN P. Pinang sebulat suara sokong usul tergempar bencana banjir

GEORGE TOWN, 6 NOV: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebulat suara menyokong usul tergempar kerajaan negeri mengahadapi bencana banjir negeri itu.

Usul dibentangkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow bagi meneliti dan menambahbaik Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) ketika krisis bencana banjir.

Menurutnya, pihak berwajib di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meneliti dan menambahbaik SOP dalam menyampaikan maklumat, menggerakkan kerja menyelamat serta penyaluran bantuan secara lebih berkesan dan cekap agar meringankan impak sesuatu kejadian bencana kepada rakyat dan masyarakat amnya.

Kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku pada 4 dan 5 November lalu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 5,845 mangsa dipindahkan dengan tujuh kematian dicatatkan.

Kon Yeow turut merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban.

“Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang telah terkorban.

“Kita juga ingin menyampaikan keprihatinan kepada semua keluarga dan individu yang telah mengalami kerugian serta kerosakan harta benda akibat ribut dan hujan lebat ini,” kata beliau.

Beliau dalam masa yang sama merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi Persekutuan, Negeri dan PBT yang bertungkus-lumus terlibat menyalurkan bantuan kepada mangsa. – Roketkini.com