Berita

Guan Eng iring TPM lawat kawasan banjir P. Pinang

SEBERANG PERAI, 6 NOV: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan bagi memulihkan semula keadaan selepas banjir di negeri itu kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengiringi kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat ke beberapa pusat penempatan sementara mangsa banjir di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah dan Utara.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat Butterworth.

“Terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid kerana sanggup membatalkan tujuh program untuk hadir melawat kawasan-kawasan banjir di negeri ini.

“Demi rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Pusat dalam memulihkan semula keadaan banjir, selepas bencana,” katanya di pusat banjir dekat Sekolah Rendah Bertam Indah di sini tengah hari tadi.

Ahmad Zahid sebelum itu berkata, Jabatan Metreorologi Malaysia meramalkan akan berlaku fenomena hujan lebat seperti baru-baru ini hatta mengakibatkan beberapa tempat mengalami banjir, dalam tempoh sehingga Februari tahun depan di pantai barat Semenanjung Malaysia, termasuk Pulau Pinang.

Beliau menyarankan supaya jabatan itu memberikan isyarat amaran lebih awal dalam tempoh tujuh hari supaya pihak berkuasa dan agensi-agensi terbabit dapat melakukan tindakan segera bagi mengurangkan risiko bencana. – Roketkini.com