Berita

‘Kami bekerja untuk masa depan, bukan masa lampau’ – Teresa Kok

KUALA LUMPUR, 6 NOV: DAP hari ini menegaskan bahawa parti itu tidak pernah sama sekali menarik balik sebarang kenyataan yang mengkritik kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Namun, kata Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, perbezaan lama antara Mahathir yang kini mengepalai Pakatan Harapan dan DAP perlu diketepikan demi menyelamatkan Malaysia daripada regim korup dan kleptokratik yang dipimpin UMNO-Barisan Nasional (BN).

“Kami bekerja untuk masa depan, bukan masa lampau,” ujarnya yang juga Naib Pengerusi DAP dalam kenyataan, hari ini.

Teresa berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-64 semalam yang menuduh DAP tidak konsisten ekoran kerjasama yang terjalin antara DAP dan Tun Mahathir.

Tun Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas meninggalkan UMNO ekoran tidak berpuas hati terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1MDB yang menyelebungi Perdana Menteri itu.

PPBM kemudiannya mengambil keputusan untuk menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sebelum ini terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah sebagai usaha untuk menentang UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri keempat dilantik menjadi Pengerusi HARAPAN.

Kenapa baru sekarang persoalkan?

Tiong Lai dalam ucapannya itu turut menyerang legasi yang ditinggalkan kepimpinan Tun Mahathir yang menurutnya banyak memberi kesusahan kepada rakyat.

“Saya mahu tanya Liow Tiong Lai, mengapa MCA yang sebahagian daripada BN ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak mengkritik dan menghentikan polisi yang dianggap menyusahkan rakyat?

“Tetapi mengapa sekarang setelah Tun Mahathir tidak berkuasa barulah MCA mahu buka mulut dan mengkritik?” soal Teresa Kok.

Tindakan berdiam diri MCA ketika era Tun Mahathir itu katanya sudah cukup membuktikan bahawa ia adalah parti yang tidak berprinsip dan tidak memainkan peranan yang penting dalam gabungan BN sambil menambah parti Cina itu sebagai ‘pak turut’ kepada UMNO. – Roketkini.com